Zahid gesa Pakatan bahas dakwaan salah guna Akta Hasutan di Parlimen

Najib: Kerajaan pertimbang daftar pengundi secara automatik bagi 21 tahun keatas
Najib: Kerajaan pertimbang daftar pengundi secara automatik bagi 21 tahun keatas

Oleh Mohd Farhan Darwis

KAJANG, 31 Mei — Pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang tidak berpuas hati dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggunakan Akta Hasutan 1948 terhadap beberapa pemimpin mereka perlu membawa isu berkenaan untuk didebatkan di Parlimen kata menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

“Bawa ke Parlimen,” katanya kepada pemberita ketika ditanya berhubung perkata itu.

Pemimpin PR sebelum ini mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) menahan beberapa individu menggunakan akta berkenaan yang dakwa mereka sebagai “menekan musuh politik”, sedangkan Najib telah berjanji akan memansuhkan akta berkenaan sebagai pembaharuan dalam transformasi politik yang menjadi agenda beliau dalam pentadbiran kerajaan.

Lima individu setakat ini telah didakwa di bawah Akta Hasutan, termasuk aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim, yang menjadi individu pertama ditahan di bawah akta berkenaan.

Selebihnya adalah Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, aktivis Haris Ibrahim dan ahli PAS Tamrin Ghafar termasuk aktivis mahasiswa Safwan Anang telah ditahan di bawah akta sama, dan didakwa dibawah Seksyen 4 (1) (b).

Kesemua mereka didakwa kerana terlibat dalam memberikan ucapan berbentuk hasutan dalam sebuah forum pada 13 Mei lalu mengenai keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu.

Dalam lampiran A yang dikemukakan oleh pihak pendakwaraya sebagai cubaan menghasut orang ramai ke jalan raya untuk menumbangkan kerajaan, pemimpin PKR Chua berkata, “Kalau rakyat sudah bersedia untuk bangkit, untuk turun ke jalan raya, setiap pemimpin baik kita Pakatan Rakyat atau sesiapapun, kita harus ikut”.

Seorang lagi pemimpin PR, Tamrin didakwa kerana mengeluarkan kata, “Kerajaan yang ada hari ini rampas kuasa rakyat, yang control mahkamah dia, control Suruhanjaya Pilihan Raya dia, dia control polis dan berbagai-bagai lagi. Bagaimana kita mahu menang di mahkamah? Saya juga bersetuju supaya kita turun ke jalan raya untuk menuntut hak kita.”

Jika disabitkan kesalahan kesemua mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 dan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, serta terdapat kemungkinan Chua akan kehilangan kerusi Parlimennya di Batu jika didapati bersalah.

PR sebelum ini mengatakan penahanan merupakan tindakan keras kebangsaan terhadap pemimpin pembangkang.