Umat Islam diberitahu ‘haram’ untuk membantah tanpa mengikut saluran yang sah

Umat Islam diberitahu ‘haram’ untuk membantah tanpa mengikut saluran yang sah

Oleh Amin Iskandar
Penolong Pengarang Berita

KUALA LUMPUR, 17 Mei — Umat Islam di Malaysia diberitahu haram bagi mereka untuk menderhaka dan memerangi pemerintah seperti membantah tanpa mengikut saluran yang sah kata khutbah Jumaat hari ini.

Dalam khutbah yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu, umat Islam juga diingatkan perintah mentaati pemerintah termasuk mentaati para petugas yang menjaga keamanan dan keselamatan seperti pasukan polis.

“Menderhaka kepada pemerintah dan memerangi mereka, maka hukumnya haram,” tulis khutbah bertajuk “Guru Malaysia: Satu Aspirasi Satu Agenda” yang boleh didapati di laman sesawang JAKIM hari ini.

“Termasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut saluran yang sah keputusan pemerintah yang dibuat berasaskan kuasa yang diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan pentadbiran negara.”

Pakatan Rakyat (PR) telah menganjurkan beberapa siri perhimpunan selepas pilihan raya digelar “Black 505” diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantah kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya 2013 yang mereka dakwa kerana penipuan dan kecurangan pilihan raya dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hari ini Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad didakwa kerana dituduh gagal untuk memberikan notis 10 hari behubung perhimpunan pertama “Black 505” di stadium Kelana Jaya, Rabu lepas.

“Berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadith Rasulullah SAW, para ulama telah bersepakat mengatakan taat kepada pemerintah adalah fardu kepada setiap Muslim manakala menderhaka merupakan satu dosa besar.

“Bantahan yang berterusan kepada pemerintah negara yang telah terbukti mampu memelihara agama Islam dan keamanan dibimbangi hanya akan mengundang bala dan murka dari Allah SWT,” tambah JAKIM lagi.

PR telah mengatakan akan meneruskan perhimpunan “Black 505” dengan salah satu daripadanya akan diadakan di Negeri Sembilan dan tiga perhimpunan di beberapa negeri — Kedah, Terengganu dan Melaka.

Negeri-negeri lain yang telah diadakan perhimpunan adalah Pulau Pinang, Johor, Perak dan Pahang.

Walau bagaimanapun, PR baru-baru ini menjauhkan diri dari desakan untuk demonstrasi jalanan bagi membantah keputusan Pilihan Raya 2013 tetapi mengatakan akan meneruskan perhimpunan di tempat tertutup bagi memberikan peluang kepada pengundi untuk “menyuarakan kemarahan” mereka terhadap tuduhan kecurangan pilihan raya 5 Mei lalu.

Anwar mengatakan desakan untuk PR menganjurkan demonstrasi jalanan bagi menjatuhkan kerajaan BN datang dari NGO dan bukan pendirian rasmi gabungan tersebut.

“Ini hanyalah cadangan dan tidak pernah dibangkitkan kepada kepimpinan dan bukan sesuatu yang akan dipertimbangkan oleh kepimpinan,” katanya.

Koordinator Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim sebelum ini mengatakan pengundi seharusnya menjatuhkan BN melalui demonstrasi jalanan.

PR berulang kali mengatakan Pilihan Raya 2013 telah dicemari dengan penipuan besar-besaran.

Our goal is to create a safe and engaging place for users to connect over interests and passions. In order to improve our community experience, we are temporarily suspending article commenting