Tiga sektor dikenal pasti penyumbang kemalangan di tempat kerja

Tiga sektor dikenal pasti penyumbang kemalangan di tempat kerja

Sektor pembuatan, perkhidmatan dan perdagangan borong dan runcit dikenal pasti penyumbang utama kes kemalangan di tempat kerja tahun ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Beliau berkata sebanyak 20,859 kes kemalangan tempat kerja dilapor sehingga Jun tahun ini dan bilangan itu dijangka meningkat.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 282 kes melibatkan kemalangan maut dan kejadian sedemikian akan menjejaskan operasi sesebuah majikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah di Bukit Mertajam hari ini.

Beliau berkata dalam itu, pihaknya turut membuka kertas siasatan terhadap 1,782 kes kemalangan di tempat kerja serta menerima aduan 782 pekerja dan 1,297 kes penyakit di tempat kerja.

Sebanyak 10,207 notis dikeluarkan dengan 231 kesalahan kompaun dan 165 kes pendakwaan kerana didapati melanggar peraturan keselamatan di tempat kerja, katanya.

Beliau berkata majikan harus sentiasa peka dengan aspek keselamatan pekerja dan menyediakan pelbagai peralatan keselamatan dan alat pelindung diri untuk pekerja masing-masing.

"Kerjasama majikan dan pekerja penting dalam menangani kes kemalangan yang berlaku di tempat kerja untuk mengurangkan jumlah kematian," katanya.

Selain itu, Ismail turut menggesa agar Jabatan Pelajaran Negeri serta sekolah tidak bersikap sambil lewa dalam menangani isu-isu berkenaan keselamatan, kesihatan dan kebajikan guru serta pelajar. – Bernama, 30 September, 2014.

Our goal is to create a safe and engaging place for users to connect over interests and passions. In order to improve our community experience, we are temporarily suspending article commenting