Selagi ada matahari dan bulan sekolah vernakular tidak ditutup, kata Muhyiddin

Effective teachers needed for success of Education Blueprint, said education group

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berjanji Putrajaya tidak menutup mana-mana sekolah jenis kebangsaan selagi ada bulan dan matahari seperti didakwa oleh sesetengah pihak.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kerajaan sentiasa menitikberatkan pendidikan jenis kebangsaan dan perkara tersebut diterjemahkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Dalam pelan pendidikan telah dimasukkan rancangan meningkatkan sekolah jenis kebangsaan, selagi ada matahari dan bulan kerajaan Barisan Nasional akan pastikan sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina akan kekal berada dalam negara ini.

"Jadi jangan dengar sesetengah pihak yang kata nak tutup sekolah ini, pelan ini memartabatkan sekolah Tamil dan Cina di negara ini," kata Muhyiddin semasa Pelancaran Buku-Buku Tamil Nenjarntha Tamil Pagirvu di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya petang ini.

Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, bahasa ibunda adalah aset penting untuk negara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum.

"Ini adalah sebahagian warisan Malaysia.

"Ada Melayu, Cina dan India, semua bahasa ibunda ini adalah aset negara," katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Parti Makkal Sakti Datuk RS Thananthiran juga presiden Yayasan Sakti yang menganjurkan majlis tersebut telah meminta kepada Muhyiddin agar menimbangkan untuk membina sebuah sekolah menengah Tamil kepada mereka.

"Mengenai perkara tersebut, saya perlu berhati-hati.

"Tapi ingin saya tegaskan disini kerajaan tidak pernah mengabaikan mana-mana sekolah jenis kebangsaan dan kita sentiasa memberi bantuan serta peruntukan yang banyak kepada mereka," kata Muhyiddin apabila permintaan tersebut yang dinyatakan secara terbuka.

Pelan pendidikan negara yang diumumkan oleh kerajaan menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak, pertubuhan bukan kerajaan Dong Zong sebelum ini mendakwa pelan tersebut mengancam bahasa ibunda mereka.

Pelan tersebut juga dikritik kerana langkah Putrajaya sejumlah wang besar kepada konsultan swasta dalam menyediakannya. – 1 Disember 2013.