Sebenarnya Apakah Tempoh Terkunci Pinjaman Rumah?

·4-min read

Click here for English version.

 

Tempoh terkunci adalah antara klausa penting dalam perjanjian pinjaman rumah, tapi ramai orang berdepan masalah kerana lambat memahaminya.

Fahami maksud dan kesannya patut menjadi perkara penting ketika memilih pinjaman perumahan yang bersesuaian dengan kedudukan kewangan anda.

Apa sebenarnya “tempoh terkunci” ni? Apa peraturan untuk melepaskan diri? Apa yang boleh anda lakukan jika terperangkap?

Kami janji tempoh terkunci tak menakutkan tau! Kami jelaskan semuanya kalau nak tahu. Teruskan baca!

 

Maksud Tempoh Terkunci

Klausa ni bermaksud jika anda ingin menamatkan pinjaman rumah lebih awal daripada persetujuan sebelum ini, anda perlu bayar denda.

Maksudnya, jika anda mahu lunaskan sepenuhnya atau biaya semula pinjaman atau menjual hartanah anda, tempoh terkunci boleh jadi penghalang.

tempoh terkunci, beli rumah, pinjaman rumah
tempoh terkunci, beli rumah, pinjaman rumah

Tak pasal-pasal tak boleh buat. Terkejut tak? Kalau tak tahu dan faham, memang akan ternganga lah jawabnya!

Bayangkan jika anda terpaksa menjual hartanah selepas baru setahun memilikinya sebab kecemasan dan memang perlu sangat pakai duit.

Bukan setakat nilai hartanah tak cukup masa nak naik, tapi anda juga terpaksa bayar denda dalam jumlah yang boleh tahan banyak!

Terma dan syarat klausa tempoh terkunci akan menyatakan dengan jelas jangka masanya. Jika anda tarik diri daripada perjanjian sebelum tempoh itu berakhir, anda kena bayar denda.

Kebiasaannya tempoh terkunci bermula dari hari bank keluarkan bayaran pinjaman pertama mengikut perjanjian pinjaman.

Jangka masa tepat tempoh terkunci berbeza antara pinjaman perumahan bergantung kepada terma ditetapkan pemberi pinjaman itu.

Tapi, selalunya ia sekitar dua hingga lima tahun.

tempoh terkunci, beli rumah, pinjaman rumah
tempoh terkunci, beli rumah, pinjaman rumah

 

Berapa Bayaran Denda Tempoh Terkunci?

Bayaran denda tempoh masa terkunci boleh berbeza, tapi selalunya antara 2% hingga 5% daripada jumlah pinjaman yang belum dijelaskan.

Katakan anda membeli rumah dengan harga RM510,000 pada tahun 2019. Pada tahun 2020, anda perlu menjualnya atas sebab peribadi.

Denda yang mungkin terpaksa anda bayar boleh mencecah sehingga 5% daripada jumlah pinjaman yang belum dijelaskan.

Kita anggap yang anda tak pernah terlepas buat pembayaran balik pinjaman, dan jumlah pinjaman yang belum dijelaskan adalah RM500,000:

  • RM500,000 dengan bayaran denda sebanyak 2% maksudnya jumlah denda RM10,000

  • RM500,000 dengan bayaran denda sebanyak 5% maksudnya jumlah denda RM25,000

Inilah perbezaan besar untuk dipertimbangkan yang mampu kempiskan poket kita yang memang dah tak berapa nak tebal ni!

tempoh terkunci, beli rumah, pinjaman rumah
tempoh terkunci, beli rumah, pinjaman rumah

 

Bagaimana Tempoh Terkunci Mempengaruhi Pinjaman?

Perbezaan antara dua dan lima tahun boleh jadi sangat besar untuk perkara tertentu seperti pemilikan rumah.

Situasi anda juga mungkin berubah, mungkin kahwin atau dapat anak atau kedudukan kewangan berubah yang memerlukan perubahan gaya hidup.

Mahu gambaran lebih jelas sebab mengapa tempoh terkunci perlu anda teliti dengan mendalam? Kami beri satu contoh mudah faham.

Katakan anda beli unit kondominium satu bilik tidur di projek perumahan baru di Sentul, KL.

Beberapa tahun kemudian, kehidupan anda bertambah baik, anda kahwin, naik pangkat dan bakal menimang cahaya mata!

Hidup anda berubah, jadi anda nak cari rumah baru lebih besar dengan bilik dan ruang tambahan lain. Jika tempoh terkunci pinjaman anda hanya dua tahun, anda memang nasib baiklah!

tempoh terkunci, beli rumah, pinjaman rumah
tempoh terkunci, beli rumah, pinjaman rumah

Tapi, kalau tempoh terkunci tu lima tahun, anda boleh dikenakan denda maksimum 5% ke atas nilai pinjaman anda yang belum diselesaikan. Banyak tu!

Perkara ini pastinya menyekat kebebasan kewangan anda untuk beli rumah baru.

Kesan tempoh terkunci kepada pinjaman bukan hanya dipengaruhi perubahan kehidupan yang tak dijangka.

Kadang-kadang bila kadar pinjaman perumahan jatuh, pembiayaan semula nampak seperti peluang keemasan nak jimatkan duit.

Tapi, jika tempoh terkunci memerlukan anda bayar denda berpuluh ribu untuk melakukan pembiayaan semula, baik tak payah!

 

Bagaimana Nak Tangani Tempoh Terkunci Pinjaman Perumahan?

Kami tahu nak buat apa! Pertama sekali - teliti terma dan syarat dalam perjanjian pinjaman anda!

tempoh terkunci, beli rumah, pinjaman rumah
tempoh terkunci, beli rumah, pinjaman rumah

Perkara ni patutnya dah jelas sejelasnya dah, terutama bila kita bercakap tentang tanggungjawab kewangan, tapi kena ulang sekali lagi.

Tempoh terkunci gadai janji bukanlah klausa dibuat sesuka hati, ia perlu jadi pertimbangan serius bagi sesiapa sahaja dalam memilih pinjaman.

Sekiranya anda menilai dua tawaran pinjaman rumah dengan kadar faedah dan terma hampir serupa, cuba lihat klausa tempoh terkunci yang boleh jadi pemberat keputusan anda.

Sekiranya anda terima dua tawaran pinjaman yang kelihatan sama, tetapi satu ada tempoh terkunci dua tahun dan satu lagi lima tahun, maka buatlah pilihan bijak, ambil yang dua tahun tu!

Memanglah, denda hanya akan dikenakan jika anda terpaksa menamatkan pinjaman perumahan lebih awal.

Jadi, tak perlu risau konon-kononnya bank nak kenakan anda dengan caj 5%. Ia hanya berlaku kalau anda nak selesaikan pinjaman lebih awal!

tempoh terkunci, beli rumah, pinjaman rumah
tempoh terkunci, beli rumah, pinjaman rumah

 

Ada Tak Pinjaman Perumahan Tanpa Tempoh Terkunci?

Memang ada, tapi kenalah bersungguh-sungguh mencarinya!

Tujuan tempoh terkunci adalah untuk menampung kos tinggi pentadbiran bagi menguruskan pinjaman perumahan.

Sesiapa yang telah membeli rumah memang boleh cerita betapa banyaknya kertas kerja perlu dilengkapkan! Itu belum termasuk kos bank upah penilai hartanah dan perkara lain yang diperlukan.

Tempoh terkunci dirancang untuk memastikan institusi kewangan menerima pulangan kewangan yang adil, setimpal dengan penggunaan sumber mereka sepanjang proses penawaran pinjaman.

Sekiranya anda keluar kontrak tanpa melalui tempoh pembayaran semula pinjaman atau bayar faedah, mereka akan kenakan denda untuk memastikan kos guna sumber itu dilindungi.

Orang kata, taklah sia-sia buat kerja! Bank pun nak makan…

tempoh terkunci, beli rumah, pinjaman rumah
tempoh terkunci, beli rumah, pinjaman rumah

Seperti yang kami katakan sebelum ini, anda tak boleh mengabaikan tempoh terkunci tapi janganlah sampai asyik fikir itu je, ada juga perkara lain dalam pinjaman yang sama penting dan perlu anda teliti.

Pinjaman rumah sepatutnya jadi pakej lengkap yang sesuai dengan situasi anda seperti tempoh masa, kadar faedah, DAN tempoh terkunci.

Sekiranya anda ragu-ragu, tindakan terbaik boleh dibuat adalah berbincang dengan profesional yang lebih arif!

Kalau nak tahu lebih lanjut tentang pinjaman perumahan, boleh baca panduan lengkap kami ni, semua ada!