Putrajaya akui kelemahan bantu mangsa banjir walaupun cukup bersedia

Putrajaya akui kelemahan bantu mangsa banjir walaupun cukup bersedia

Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini mengakui wujud kelemahan bagi pihak kerajaan dalam menguruskan usaha menyampaikan bantuan dan menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan.

Astro Awani melaporkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, walaupun persediaan menghadapi bencana banjir nampak lancar di atas kertas, realitinya berbeza.

Katanya, banjir yang melanda Kelantan mengakibatkan halangan tertentu dan beberapa masalah yang tidak dapat diselesaikan.

"Dalam menyelaraskan bencana alam sebesar ini, arahan cepat dan tepat mesti dikeluarkan oleh seorang pemimpin yang berpengalaman.

"Kita mesti mempunyai seorang komander yang berupaya mengendalikan beberapa jabatan pada satu masa," kata Mustapa kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil di Kuala Krai hari ini.

Sekolah itu kini dijadikan pusat pemindahan yang ketika ini menempatkan kira-kira 2,000 mangsa banjir, menurut Astro Awani.

Beliau yang juga pengerusi Badan Berhubungan Umno Kelantan berkata, banjir tahun in lebih luas biasa dibandingkan dengan kejadian terdahulu menyebabkan kelemahan dalam penyelarasan bantuan tidak dapat dielakkan.

"Pelbagai agensi keselamatan digerakkan bagi menggunakan semua bantuan yang ada, termasuk dari segi logistik," kata Mustapa

Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di negeri itu turun sedikit hari ini dari 34,955 sebelum ini ke 32,139 malam tadi berikutan keadaan dilaporkan pulih sedikit di enam daerah.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Putrajaya tidak akan mampu menduga segala yang akan berlaku, kerana itu timbul rungutan yang kerajaan tidak bersedia menghadapi bencana.

"Terdapat beberapa faktor di luar kawalan kita, seperti cuaca yang buruk yang menjejaskan operasi kita," katanya.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara hari ini mengarahkan keperluan aset air, udara dan darat dipertingkatkan dalam usaha membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan yang keadaan banjirnya serius.

Arahan itu diputuskan setelah beliau mendapat taklimat terkini tentang bencana alam itu.

"Daripada taklimat tadi, kita dapati ia masih tidak mencukupi kerana banjir ini luar jangkaan. Bot yang disediakan mungkin tidak cukup, helikopter, kita sediakan tujuh... bilangan masih tidak memadai.

"Sebab itu saya beri arahan supaya aspek logistik dipertingkatkan lagi di mana aset seperti helikopter, bot tambahan akan diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Pengkalan Chepa. – 26 Disember, 2014.