MEMPERKASA EKOSISTEM PEMULA NIAGA TEMPATAN

HAIZATULZETY JAAFAR
Cradle, Agensi Peneraju Dalam Menggalakkan Pertumbuhan Syarikat Pemula Niaga Di Malaysia Julung-Julung Kali Menganjurkan Anugerah Pemula Niaga Dan Malam Penghargaan Media KUALA LUMPUR , Malaysia, 22 Nov (Bernama) -- Sejak tahun 2013, Cradle Fund telah berjaya membantu lebih 900 syarikat pemula niaga meneroka perniagaan baru melalui pelbagai program pelaburan peringkat awal. Tahun ini, buat julung-julung kalinya agensi ini menganjurkan Anugerah Pemula Niaga Cradle & Malam Penghargaan Media bagi meraikan kerja keras mereka selama 16 tahun memperkasa syarikat-syarikat pemula niaga di Malaysia. Acara ini juga bertujuan mengiktiraf sumbangan para pemula niaga, rakan-rakan kongsi dan pihak media dalam mewujudkan ekosistem yang bertenaga sekali gus mengangkat nama Malaysia di peta dunia. Peranan ekosistem syarikat pemula niaga yang melangkaui bidang inovasi dan teknologi ini penting dalam mengekalkan ekonomi yang semakin berkembang. Dalam kajian impak Program Pelaburan Cradle yang dilakukan pada tahun 2018, ekosistem syarikat pemula niaga Malaysia menyumbang sebanyak RM3.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dari tahun 2008 hingga 2016. Ia dijangka mencecah RM30.8 bilion pada tahun 2030, menjadikan peranan penting dalam keseluruhan proses pembinaan negara. Dalam tempoh yang sama, ekosistem ini juga telah mencipta 80,600 kerjaya sepenuh masa sekali gus menarik sejumlah RM1.3 bilion dana swasta dan asing. Ia juga menghasilkan kesan pendapatan berulang yang berterusan terhadap ekonomi. Dengan peruntukan sebanyak RM20 juta yang diumumkan dalam Bajet 2020 baru-baru ini, Cradle berhasrat untuk memberi tumpuan kepada tiga bidang utama. Pertama, pelbagai penawaran geran baru dengan had dana yang lebih tinggi yang direka untuk menarik lebih banyak pemula niaga daripada teknologi digital hingga teknologi fizikal. Kedua, membangunkan ekosistem sokongan yang akan menarik lebih banyak pelabur, pemodal teroka dan golongan korporat yang berminat untuk melabur dan menyokong inovasi teknologi fizikal pada peringkat awal perniagaan. Akhir sekali, memperluas jangkauan aktivitinya ke kawasan, sektor dan komuniti yang kurang pendedahan teknologi selain berusaha untuk menjadi lebih inklusif dan pelbagai demi mencari pemula niaga yang terbaik. Dalam pasaran yang semakin sesak dan homogen, Cradle akan terus mencari pemula niaga yang tampil dengan produk berbeza, memiliki faktor jualan yang unik serta mempunyai kelebihan daya saing yang mampu bertahan. "Kami menggalakkan lebih banyak permohonan geran daripada bidang teknologi bersifat fizikal seperti sains hayat dan teknologi hijau selain permohonan daripada usahawan-usahawan yang berani menangani isu-isu sebenar yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini termasuk kesesakan jalan raya, pencemaran, rumah mampu milik, keselamatan makanan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan," kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan di Cradle Fund Sdn Bhd, Razif Abdul Aziz. Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20191122/2651661-1 HUBUNGI: Mr. Xavier Mah, 03-2298 7200 Sumber: Cradle Fund Sdn Bhd --BERNAMA