MEMPERKASA EKOSISTEM PEMULA NIAGA TEMPATAN

HAIZATULZETY JAAFAR
Agensi peneraju dalam menggalakkan pertumbuhan syarikat pemula niaga di Malaysia julung-julung kali menganjurkan Anugerah Pemula Niaga Cradle & Malam Penghargaan Media KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Sejak tahun 2013, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) telah berjaya membantu lebih 900 syarikat pemula niaga meneroka perniagaan baru melalui pelbagai program pelaburan peringkat awal. Tahun ini, buat julung-julung kalinya agensi ini menganjurkan Anugerah Pemula Niaga Cradle & Malam Penghargaan Media bagi meraikan kerja keras mereka selama 16 tahun memperkasa syarikat-syarikat pemula niaga di Malaysia. Acara ini juga bertujuan mengiktiraf sumbangan para pemula niaga, rakan-rakan kongsi dan pihak media dalam mewujudkan ekosistem yang bertenaga sekali gus mengangkat nama Malaysia di peta dunia. Acara ini menampilkan tujuh kategori anugerah pemula niaga dan satu bagi mengiktiraf sumbangan organisasi rakan kongsi yang terbaik. Anugerah-anugerah tersebut adalah Anugerah Penerima Cradle Rocking, Anugerah Pemula Niaga Global, Anugerah Transformasi Kehidupan, Anugerah Pemula Niaga Harapan, Anugerah Pengasas Cemerlang, Anugerah Duta Pemula Niaga Cradle, Anugerah Khas Juri ‘Nazrin Hassan’ dan Anugerah Rakan Kongsi Sokongan Terbaik. Sebagai mengiktiraf peranan penting mereka dalam ekosistem, 16 pertubuhan media juga menerima penghargaan atas usaha mereka memupuk dan menggalakkan ekosistem syarikat pemula niaga. Penerima anugerah dipilih oleh juri-juri Cradle dan wakil-wakil daripada rakan kongsi. "Sejak beberapa dekad lalu, ekosistem syarikat pemula niaga tempatan tidak hanya meletakkan kami di peta dunia, bahkan mereka telah membuka jalan dari aspek inovasi dan teknologi. Semua ini dicapai melalui usaha dan kesungguhan syarikat pemula niaga, rakan kongsi dan media. Anugerah dan penghargaan pada malam ini bertujuan meraikan sumbangan semua pihak yang terlibat. Sebagai agensi penyumbang dana di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Cradle akan terus memberi tumpuan dalam menyediakan peluang peringkat awal untuk pemula niaga berasaskan teknologi mencapai impian mereka dan memastikan negara terus berdaya saing dalam dunia yang semakin global," kata Dr. Mohd Nor Azman Bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Sains Teknologi & Inovasi) MESTECC. Peranan ekosistem syarikat pemula niaga yang melangkaui bidang inovasi dan teknologi ini penting dalam mengekalkan ekonomi yang semakin berkembang. Dalam kajian impak Program Pelaburan Cradle yang dilakukan pada tahun 2018, ekosistem syarikat pemula niaga Malaysia menyumbang sebanyak RM3.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dari tahun 2008 hingga 2016. Ia dijangka mencecah RM30.8 bilion pada tahun 2030, menjadikan peranan penting dalam keseluruhan proses pembinaan negara. Dalam tempoh yang sama, ekosistem ini juga telah mencipta 80,600 kerjaya sepenuh masa sekali gus menarik sejumlah RM1.3 bilion dana swasta dan asing. Ia juga menghasilkan kesan pendapatan berulang yang berterusan terhadap ekonomi. Dengan matlamat utama menggalakkan lebih banyak syarikat pemula niaga dan usahawan, serta mendidik mereka tentang keusahawanan menerusi acara ini, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan di Cradle Fund Sdn Bhd, Razif Abdul Aziz menegaskan bahawa anugerah berkenaan bukan mengenai siapa yang lebih baik, sebaliknya mengiktiraf kerja keras dan pencapaian, selain meningkatkan semangat dan memotivasi orang lain. "Kami mahu terus melakukan yang terbaik bagi memperkasa syarikat pemula niaga Malaysia dengan membiayai, menyokong dan membimbing mereka. Kami buat apa yang termampu untuk membantu syarikat-syarikat berkembang dan membuka laluan ke pasaran serta membina bakat dan rakan kongsi," kata Razif. Cradle Fund menerima antara 600 hingga 700 permohonan geran setahun dengan lebih 80 peratus datang daripada pemula niaga berasaskan digital seperti e-dagang, e-perkhidmatan dan perisian. Kurang kepelbagaian atau menjalankan perniagaan yang hampir sama dengan syarikat pemula sedia ada bermakna tugas untuk memilih pemula niaga baharu yang benar-benar inovatif dan berbaloi untuk rakyat semakin mencabar. "Kami menggalakkan lebih banyak permohonan geran daripada bidang teknologi bersifat fizikal seperti sains hayat dan teknologi hijau selain permohonan daripada usahawan-usahawan yang berani menangani isu-isu sebenar yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini termasuk kesesakan jalan raya, pencemaran, rumah mampu milik, keselamatan makanan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan," tambah Razif. Dengan peruntukan sebanyak RM20 juta yang diumumkan dalam Bajet 2020 baru-baru ini, Cradle berhasrat untuk memberi tumpuan kepada tiga bidang utama. Pertama, pelbagai penawaran geran baru dengan had dana yang lebih tinggi yang direka untuk menarik lebih banyak pemula niaga daripada teknologi digital hingga teknologi fizikal. Kedua, membangunkan ekosistem sokongan yang akan menarik lebih banyak pelabur, pemodal teroka dan golongan korporat yang berminat untuk melabur dan menyokong inovasi teknologi fizikal pada peringkat awal perniagaan. Akhir sekali, memperluas jangkauan aktivitinya ke kawasan, sektor dan komuniti yang kurang pendedahan teknologi selain berusaha untuk menjadi lebih inklusif dan pelbagai demi mencari pemula niaga yang terbaik. Dalam pasaran yang semakin sesak dan homogen, Cradle akan terus mencari pemula niaga yang tampil dengan produk berbeza, memiliki faktor jualan yang unik serta mempunyai kelebihan daya saing yang mampu bertahan. Syarikat pemula niaga yang dapat menunjukkan idea produk yang bagus dan memenuhi kehendak pasaran serta berkeupayaan untuk mengkomersialkannya akan terus mendapat bantuan dan sokongan. Dikelilingi oleh para usahawan pemula niaga yang memberi inspirasi, rakan kongsi perniagaan dan rakan media yang tersohor, tetamu-tetamu telah diraikan pada malam penuh acara termasuk persembahan oleh penyanyi Syamel dan Dina Nadzir, sesi cabutan bertuah dan menu makan malam yang mewah. Layari www.cradle.com.my untuk maklumat lanjut. Mengenai Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) Cradle mempunyai minat yang mendalam terhadap inovasi dan keusahawanan. Kami ingin melahirkan syarikat pemula niaga terkemuka dengan mewujudkan ekosistem yang menyokong pertumbuhan perniagaan baru yang mantap dan inovatif untuk usahawan teknologi. Cradle merupakan agensi peneraju di Malaysia yang menggalakkan pertumbuhan perniagaan baru berasaskan teknologi di Malaysia. Ia diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pada tahun 2003 dengan mandat untuk membiayai pemula niaga teknologi yang berpotensi tinggi melalui Program Pelaburan Cradle (CIP). Sepanjang sejarah 16 tahun penubuhannya, Cradle telah membantu membiayai lebih daripada 900 pemula niaga teknologi tinggi di Malaysia dan memegang kadar pengkomersialan tertinggi dalam kalangan penerima geran kerajaan di negara ini. Mempunyai lebih dari satu dekad pengalaman dalam bidang pembiayaan geran negara, Cradle terus memperluas peranannya daripada penyedia geran kepada pelabur menerusi sayap pelaburannya, Cradle Seed Ventures pada tahun 2015. Berikutan pengembangan portfolionya kepada pelaburan ekuiti pada awal tahun 2017, Cradle kini menawarkan kedua-dua bantuan dana dan pelaburan. Tawaran produk Cradle bukan hanya terhad kepada bantuan kewangan, tetapi juga termasuk sokongan pengkomersialan, latihan dan pelbagai perkhidmatan tambah nilai lain demi memenuhi keperluan pelbagai usahawan hari ini. Cradle kini ditadbir oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC). SUMBER: Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) UNTUK MAKLUMAT LANJUT & TEMURAMAH, SILA HUBUNGI: Nama: Caroline Jintoni Tel: +6019 293 9096 E-mel: caroline@cradle.com.my --BERNAMA