Maksud Pajakan Tanah Dan Prosesnya

·6-min read

Kita tak boleh nak duga bila akan datang masa terdesak dan betul-betul perlukan wang tunai. Bagi sesetengah orang mungkin memang tak ada pilihan dan terpaksa hadap dulu keadaan seperti ni. Tapi, ada juga yang bernasib baik dan mempunyai tanah yang boleh membantu.

Mungkin tanah pusaka, ataupun tanah yang dibeli ketika ada duit lebih. Kalau nak jual atau gadai memang akan rasa sayang sebab hilang hak milik. Namun, ada satu cara lain yang boleh dilakukan iaitu melalui pajakan atau penyewaan tanah.

Bagi yang tak pernah dengar tentang pajakan atau perlukan maklumat lanjut tentang topik ni, kami kongsikan apakah maksud pajakan, pengurusannya, tempoh yang diambil, risiko bila memajak tanah, dan sebagainya.

Jom Teliti Maksud Pajakan Dan Maklumat Lain Tentangnya

Pajakan adalah salah satu urus niaga penting termaktub di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) selain daripada pindah milik, gadaian, dan ismen.

Maksud pajakan adalah urusniaga antara tuan tanah (pemberi pajak) dan pihak yang nak menyewa (penerima pajakan) yang memberikan beberapa kepentingan penggunaan tanah kepada penyewa bagi tanah beri milik.

Mengikut portal rasmi Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor (PTGS), kuasa untuk tuan tanah memberi pajakan terkandung di bawah Seksyen 221 KTN iaitu:

  1. Mana-mana tuan tanah berhak memberi pajakan ke atas kesemua atau mana-mana bahagian hak milik tanahnya

  2. Tempoh pajakan mesti melebihi 3 tahun

  3. Setiap pajakan perlu dibuat menggunakan Borang 15A

  4. Untuk pajakan keseluruhan tanah, tempoh maksima ialah 99 tahun

  5. Untuk pajakan sebahagian tanah, tempoh maksima ialah 30 tahun, pelan dan butiran pajakan perlu dijelaskan dan disertakan dalam permohonan

  6. Untuk pajakan kecil, proses pemohonan perlu menggunakan Borang 15B.

maksud pajak, maksud pajakan, pajakan, sewa tanah, gadai tanah
maksud pajak, maksud pajakan, pajakan, sewa tanah, gadai tanah

Bercakap tentang pajak, anda jangan keliru pula dengan gadaian tanah tau.

Pajakan ni tuan tanah bagi sewa pada masa tertentu dan bila dah berakhir kena pulang balik. Gadai pula, tuan tanah ambil pinjaman kewangan daripada pihak bank dengan menggadai tanah pada mereka. Kalau gadai tanah dan tak dapat bayar semula tanah mungkin boleh ditarik dan dilelong!

Siapa Yang Menguruskan Pajakan?

Setiap permohonan pajakan diuruskan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri. Maknanya kalau tanah tu di Selangor kena mohon kelulusan daripada PTGS, kalau ada di Pulau Pinang kena pergi ke Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, dan seterusnya.

Tapi, ada sesetengah kes di mana pajakan dikendalikan oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) seperti:

  • Jabatan Persekutuan yang mahu menyewa pejabat di premis persendirian seperti mana termaktub dalam Surat Pekeliling Am Bilangan 3, Tahun 2011.

  • Tanah Persekutuan yang tidak/belum digunakan dan diambil alih dengan proses Pengambilan Tanah untuk dipajak atau disewa, seperti termaktub dalam Pekeliling Perbendaharaan Bil. 2, Tahun 1987.

  • Tanah kosong milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang ingin disewa atau dipajak, seperti termaktub dalam Seksyen 4, Akta Pesuruhjaya Tanah Persekutuan 1957 dan Seksyen 223, Kanun Tanah Negara, 1965.

  • Sewa atau pajak tanah, bangunan, peralatan dan lain-lain kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun.

Prosedur nak pohon pajakan tanah ni sangat mudah sebab isi borang saja, tapi tujuan nak memajak tu kenalah selari dengan jenis dan syarat tanah. Kalau tanah tu untuk pertanian, tujuannya mestilah untuk bertani, tak boleh pergi nak bina bangunan pula di situ!

maksud pajak, maksud pajakan, pajakan, sewa tanah, gadai tanah
maksud pajak, maksud pajakan, pajakan, sewa tanah, gadai tanah

Macam Mana Prosedur Nak Pajak Tanah?

Mengikut PTGS, semua dokumen ini perlu disertakan dalam permohonan pajakan:

  • Hak milik keluaran asal DHKK

  • Perjanjian pajakan

  • Borang 15A / 15B yang lengkap

  • Penyata atau bil Cukai Tanah dan Cukai Pintu Tahun Semasa

  • Surat kebenaran dari pihak kepentingan (jika ada)

  • Sekiranya permohonan dari syarikat, Borang 49, Borang 24, MAA dan dokumen lain yang berkaitan perlu di sertakan

  • Bayaran mengikut Selangor Land Rules 2003 pindaan 2008 dan mengikut borang Kanun Tanah Negara

  • Sekiranya pajakan sebahagian tanah, pelan perlu disertakan

Bagi pajakan di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, anda boleh rujuk panduan di laman web mereka ini. Daftar akaun, isi borang online dan cetak permohonan yang lengkap dan bawa bersama semua dokumen yang diperlukan ke kaunter PTGWP KL.

Ada kemungkinan setiap pejabat tanah ada cara dan syaratnya yang tersendiri untuk memohon jadi boleh semak pada laman web rasmi mereka atau telefon terus untuk mendapatkan maklumat.

Hak Dan Tanggungjawab Pemberi Dan Penerima Pajakan?

Hak dan tanggungjawab pemberi dan penerima pajakan perlu dinyatakan dengan jelas di dalam surat perjanjian pajakan, dan berdasarkan undang-undang.

Jika tiada syarat spesifik yang ingin diletakkan kedua-dua pihak di dalam perjanjian, mereka boleh rujuk kepada peruntukan yang terkandung di bawah Jadual Keenam KTN dan ubah suai mengikut kesesuaian masing-masing di dalam perjanjian mereka.

maksud pajak, maksud pajakan, pajakan, sewa tanah, gadai tanah
maksud pajak, maksud pajakan, pajakan, sewa tanah, gadai tanah

Kalau tiada juga syarat nyata yang nak diletak, boleh bergantung kepada syarat tersirat bagi pajakan atau pajakan kecil seperti di bawah Seksyen 230 KTN yang menyatakan:

  1. Penerima pajakan perlu bayar sewa yang dipersetujui, memantau dan melaksanakan semua syarat nyata dan tersirat ke atas tanah tersebut.

  2. Pemberi pajakan akan membayar semua sewa atau bayaran yang patut dibayar kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) ke atas tanah tersebut

  3. Untuk pajakan kecil, pemberi pajakan akan membayar sewaan pajakan yang dipegangnya. Jika sudah buat bayaran, dia berhak untuk menolak amaun tersebut daripada jumlah sewa yang perlu dibayar kepada pemberi pajakan.

Di bawah Seksyen 321 KTN pula, penerima pajakan dan penerima pajakan kecil perlu:

  1. Membayar semua sewa, kadar dan lain-lain bayaran berkait dengan harta tersebut melainkan sewa yang perlu dibayar pemberi pajakan kepada Pihak Berkuasa Negeri atau bayaran ekslusif yang perlu dibayar oleh pemberi pajakan.

  2. Membaiki tanah / harta jika berlaku kerosakan.

  3. Membenarkan pemberi pajakan atau ejennya memasuki harta tersebut dan memeriksa keadaan tanah / harta.

  4. Mendapatkan kebenaran bertulis dari pemberi pajakan terlebih dahulu sebelum memindah milik, menggadai, memberi pajakan kecil atau lain-lain yang berkaitan tanah / harta tersebut.

Lagi satu, Seksyen 232 KTN pula memberikan syarat tersirat seperti:

  1. Penerima pajakan akan dibenarkan menduduki dan menikmati tanah / harta tersebut tanpa gangguan dari pemberi pajakan.

  2. Jika pajakan berkait dengan sebahagian dari bangunan, pemberi pajakan akan membaiki bumbung, dinding utama, saliran utama dan mana-mana jalan yang berkaitan.

  3. Abaikan sewa jika bangunan tersebut tak lagi sesuai untuk diduduki atau digunakan disebabkan sebarang kejadian kecuali ia berpunca daripada kecuaian penerima pajakan.

Dah tahu kan syarat, hak dan tanggungjawab pemberi dan penerima pajakan ni? Jom kita tengok apa pula risiko pajakan ni.

maksud pajak, maksud pajakan, pajakan, sewa tanah, gadai tanah
maksud pajak, maksud pajakan, pajakan, sewa tanah, gadai tanah

Risiko Pajakan!

Kita boleh bahagikan kepada dua risiko meliputi pemberi pajakan dan penerima pajakan.

Risiko kepada pemberi pajakan ialah, penerima pajakan mungkin melanggar perjanjian yang telah dibuat dan tak menurut syarat yang ada.

Bagi penerima pajakan pula, mereka mungkin terpaksa meminta semua tanah atas sebab yang tak dapat dielakkan. Bila terjadinya situasi ni, memang tiada jalan lain tapi perlu di bawa ke mahkamah dan perlu diuruskan mengikut undang-undang.

Lagi satu, penerima pajakan mungkin mempunyai hak untuk menggadai tanah tapi semuanya bergantung kepada syarat semasa permohonan pajakan dan yang terkandung dalam geran tanah.

Apa saja kemusykilan atau masalah yang ada berkenaan pajakan ni, seeloknya anda terus bertanya dengan pejabat tanah. Mereka akan dapat membantu dan memberi jawapan yang lebih tepat kepada anda.

Pajakan tanah memang boleh dikategorikan sebagai salah satu cara mudah untuk mendapatkan duit, sebab ianya macam sewakan rumah tapi untuk kes ni anda sewakan tanah. Namun begitu, sebelum membuat apa-apa keputusan anda perlu ambil kira semua risiko dan kesannya.

Supaya tidaklah menyesal di kemudian hari.

Nak pajak tanah mestilah kenalah tahu cara baca geran tanah. Boleh juga layari laman web BM kami untuk tengok senarai hartanah untuk dijual!