Mahkamah arah KDN kembalikan CD Jill Ireland

Warga Kristian Sarawak tuntut CD mengandungi kalimah Allah dipulangkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan lapan cakera padat (CD) Kristian mengandungi kalimah Allah yang dirampas Kementerian Dalam Negeri daripada Jill Ireland di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada 2008 dipulangkan semula.

Hakim Zaleha Yusof bagaimanapun tidak meletakkan tempoh masa untuk CD itu dipulangkan semula kepada Jill, seorang kerani daripada suku Melanau itu.

Hakim juga tidak membuat sebarang penghukuman berkenaan isu Perlembagaan sama ada Kristian dibenarkan untuk menggunakan kalimah Allah dalam amalan agama mereka atau tidak.

Peguam Jill, Annou Xavier berkata, mereka akan memutuskan tindakan selanjutnya selepas CD berkenaan dipulangkan.

Jill berkata, CD yang dirampas itu dibeli ketika dalam lawatan ke Indonesia untuk kegunaan peribadi bertajuk,"Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah", "Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah" dan "Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah".

Pada Ogos 2008, Jill memfailkan semakan kehakiman terhadap tindakan kementerian dan memohon pemulangan semula CD tersebut.

Malah, Jill juga meminta deklarasi mengatakan dia berhak untuk menggunakan perkataan "Allah" dan boleh memiliki serta mengimport material berkenaan.

Pada 4 Mei 2009, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada Jill untuk semakan kehakiman dan kes itu ditetapkan pada 5 Februari untuk dibicarakan.

Pasukan peguam Jill berhujah kes ini bukan melibatkan Kristian menentang Islam, tetapi haknya sebagai penganut Kristian pribumi.

Putrajaya berhujah, menteri menggunakan kuasanya di bawah Akta Percetakan yang memberinya kuasa menahan material yang dirasakan mengganggu ketenteraman umum.

"Kementerian Dalam Negeri berpuas hati penggunaan perkataan dalam CD mungkin mengakibatkan kekacauan dan sensitiviti antara Kristian dan Islam di Malaysia.

"Dalam Islam, Allah adalah berdasarkan konsep Keesaan, tapi ini tidak sama dengan Kristian yang menggunakan konsep Trinity," kata peguam Munahyza Mustafa dalam sesi mahkamah lalu.

Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan bulan lalu menolak permohonan Gereja Katolik terhadap larangan penerbitan mingguan Herald menggunakan perkataan Allah. – 21 Julai, 2014.