Advertisement

Kes UPSR bocor satu sabotaj, kata Muhyiddin

BN terpaksa beri penjelasan isu royalti minyak kepada rakyat, kata Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan berlaku sabotaj dalam kes kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, menurut Utusan Online.

Bercakap di Vientiane, Laos, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata ia mungkin tindakan sabotaj terhadap dirinya dan juga kementerian itu.

"Saya anggap ini tindakan sabotaj untuk menjejaskan integriti saya dan kementerian," katanya pada satu sidang media di sana, jelas marah dan dukacita dengan apa yang terjadi.

Muhyiddin dilaporkan berkata, tindakan segera bukan sahaja diambil untuk mengesan dalang yang terlibat malah mengkaji keseluruhan prosedur operasi standard (SOP) penyediaan dan pengendalian kertas soalan bagi mengelakkan ia berulang pada masa depan.

Beliau berada di Laos bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Pendidikan Asean ke-8 yang bermula hari ini.

Sementara itu, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh menafikan khabar angin yang disebarkan dalam laman sosial mengatakan keseluruhan UPSR dibatalkan.

Idris dalam akaun Twitter miliknya menafikan spekulasi yang tersebar melalui WhatsApp dan beberapa media sosial sejak petang tadi ekoran kertas peperiksaan subjek Bahasa Inggeris dan Sains bocor.

Lembaga Peperiksaan dalam laman web rasminya turut menafikan khabar angin tersebut.

Laman sosial media dipenuhi kritikan selepas menteri mengumumkan kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2 yang sepatutnya diduduki murid darjah 6 pagi tadi dibatalkan kerana soalan bocor.

Kertas itu dijadualkan diadakan semula pada 30 September ini. – 11 September, 2014.