Kerajaan prihatin terhadap masyarakat India

Perniagaan perlu mula bersedia dengan GST, kata firma perakaunan

Peruntukan bajet yang berterusan kepada masyarakat India negara ini menunjukkan kerajaan cukup prihatin terhadap nasib masyarakat India, kata presidan MIC, Datuk Seri G. Palanivel.

Puas hati dengan perkembangan ini, Palanivel berkata ini membuktikan sokongan berterusan terhadap rakyat India dalam bidang seperti pendidikan, latihan kemahiran dan pengukuhan perniagaan.  

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengiktiraf masyarakat tersebut," kata Palanivel kepada Bernama bila dihubungi semalam.

Di bawah Bajet 2014, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta bagi meningkatkan lagi prestasi pendidikan dan latihan kemahiran ketika ia terus memberi fokus terhadap kemajuan masyarakat India Malaysia. 

Jumlah itu termasuk RM28 juta untuk program pendidikan awal membabitkan 176 pra-sekolah Tamil dan program i-Sinar. 

Sejumlah RM50 juta lagi diperuntukkan kepada Skim Pembangunan Usahawan India menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun). 

Timbalan presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam turut menyambut baik peruntukan khas bagi pendidikan pra-sekolah yang akan membantu menambah bilangan pelajar yang mendaftar di sekolah jenis kebangsaan Tamil.   

Sementara itu, presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M. Kayveas berharap peruntukan itu dikendalikan dengan cermat dan sampai kepada kumpulan sasaran.  

Presiden Makkal Sakti, Datuk R. S. Thanenthiran berkata Najib telah memberikan 'sentuhan ajaibnya' dalam usaha mengangkat kedudukan masyarakat India kelas menengah. – Bernama, 27 Oktober, 2013.