Jangan ambil mudah ancaman Covid-19

Bartholomew Chan
Bartholomew Chan

1 JUN ― Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu temu ramah dengan pihak media mendedahkan, Malaysia kini berada pada landasan yang betul untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 tidak lama lagi.

Pendedahan tersebut sudah tentu merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Ini bermakna, rakyat jelata boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan aktiviti ekonomi negara boleh digerakkan dengan lebih menyeluruh.

Akan tetapi, ia tidak bermakna bahawa rakyat jelata boleh mengambil mudah ancaman jangkitan Covid-19 yang mungkin boleh kembali menyerang sekiranya rakyat tidak berwaspada.

Keupayaan untuk memutuskan rantaian jangkitan virus itu tidaklah bererti bahawa rakyat boleh melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya dan kembali kepada tabiat asal mereka. Sebaliknya, rakyat perlulah mengamalkan norma baharu dalam kehidupan pasca Covid-19.

Seandainya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB tidak dilanjutkan selepas 9 Jun ini, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat jelata untuk mengamalkan norma baharu dengan penuh disiplin walau di mana mereka berada.

Jika berada di khalayak, pastikan penjarakan sosial diamalkan. Pakailah pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga dan hanya keluar dari rumah sekiranya ada keperluan mendesak. Amalkan kebersihan diri dan segera berjumpa dengan doktor jika bergejala.

Rakyat jelata perlu menerima hakikat bahawa kehidupan dalam era pasca Covid-19 tidak mungkin akan sama lagi selepas ini. Sesungguhnya, Covid-19 telah merobah segala-galanya.

Justeru, rakyat jelata perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu dan berganding bahu dengan pihak berkuasa memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Kunci utama kepada usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 adalah disiplin diri!

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Related Articles Truckmaker Scania signals lay-offs, has 5,000 more staff than needed CMCO: Married couples need police permission for reunion travel between Peninsula and Sabah, Sarawak Europe’s factories starting to recover, Asia’s pain worsens