Hikmah Amalan Puasa kepada Kesihatan Fizikal dan Mental

Dalam Islam, amalan untuk berpuasa menjadi wajib, iaitu ketika di bulan Ramadan. Berpuasa itu pula diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang berakal dan sudah cukup umur. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 183 yang bermaksud ‘…wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia telah diperintahkan ke atas umat yang terdahulu, agar kamu bertakwa…’

Walaupun umat Islam menyedari akan kewajipan untuk berpuasa, dan mereka melaksanakan amalan itu sebagai melaksanakan satu kewajipan yang dituntut, namun pada hakikatnya, amalan berpuasa itu mempunyai pelbagai hikmah dan kebaikan dari sudut kesihatan dan kesejahteraan, sama ada dari segi fizikal, mahupun mental, sosial dan kerohanian.

Sebagaimana yang dimaklumi bahawa amalan berpuasa itu ialah menahan diri dari sebarang aktiviti makan dan minum pada siang hari, serta apa jua amalan yang boleh membatalkan puasa itu juga, yang bermula dari terbitnya fajar, sehinggalah terbenamnya matahari, dan ia dilaksanakan untuk tempoh selama sebulan, iaitu di sepanjang bulan Ramadan.

Di sepanjang tempoh ini, umat Islam dilatih untuk mengamalkan satu bentuk atau corak tingkahlaku berkaitan pemakanan. Mereka juga dilatih untuk mengamalkan tingkahlaku berkaitan perbuatan yang berkaitan dengan aktiviti sosial dan aspek psiko-spiritual.

Oleh yang demikian, bulan ini dilihat sebagai satu bulan yang istimewa dan berbeza dari bulan-bulan yang lain, khususnya dari segi aktiviti yang dilakukan, malah ia juga dilihat sebagai satu bulan yang melatih dan mendidik individu itu agar dapat menjadi seorang individu yang lebih baik dari segi kehidupan, personaliti, dan pemikiran mereka.

Bagaimana amalan berpuasa boleh memberikan kesihatan yang lebih baik kepada individu? Jika seseorang individu itu berpuasa, ia sebenarnya telah memberikan satu ruang kerihatan kepada tubuh badan. Dalam tempoh sebulan itu, hampir separuh atau keseluruhan aktiviti tubuh badan telah diberikan kerihatan. Apabila berpuasa, individu tidak mengambil sebarang makanan atau minuman, dan ia membantu sistem penghadaman untuk berehat dan bekerja sendiri untuk memperbaiki keberkesanan fungsi sistem itu sendiri.

Ini kerana apabila tiada berlaku sebarang aktiviti penghadaman ketika berpuasa, lemak dan glukos yang terdapat di dalam hati dan tubuh badan individu akan menjadi sumber tenaga yang utama.

Penggunaan sumber ini sebenarnya memberikan kesan yang lebih baik kepada mereka, khususnya dari segi pembakaran lemak dan penghapusan kolesterol serta kandungan gula berlebihan dari tubuh badan.

Oleh kerana amalan ini akan mengurangkan kadar gula, ini bermakna ia akan seterusnya mengurangkan risiko penyakit kencing manis dan masalah berkaitan berat badan.

Amalan berpuasa ini juga akhirnya akan membersihkan semua organ-organ berkaitan dan tubuh badan mereka dari kesan buruk akibat dari kewujudan bahan-bahan toksik dan tercemar yang kebanyakannya berpunca dari tabiat pemakanan yang tidak sihat.

Nabi Muhammad S.A.W. ada bersabda yang bermaksud bahawa …tiada sesuatu yang lebih buruk bagi seseorang anak Adam itu dari apa yang lebih diperlukan oleh isiperutnya yang apabila ia makan, hendaklah satu pertiga perutnya itu adalah untuk makanan, satu pertiga adalah untuk minuman dan lebihan satu pertiga lagi untuk udara bagi ia bernafas…

Selain dari sistem penghadaman, sistem perkumuhan juga telah berpeluang untuk melakukan proses penyahtoksikan sendiri hasil dari amalan berpuasa ini. Proses ini berlaku apabila buah pinggang tidak perlu lagi bekerja keras sepanjang masa, sebaliknya menggunakan tempoh berpuasa ini untuk membuang segala sisa-sisa buangan yang toksik dari sistem perkumuhan ini.

Seterusnya, amalan berpuasa ini juga memberikan kesan yang lebih baik bagi perokok, bukan hanya ia mengurangkan kesan toksik merokok, malah ia melatih golongan ini untuk terus berhenti dan meninggalkan terus kegiatan yang kotor ini. Ketika berpuasa selama 12 jam, mereka telah pun berhenti dari merokok. Ketika berbuka, mereka tidak mencari rokok pun, malah, selepas selesai solat sunat terawih dan sahur, mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk merokok, dan ia bukan satu masalah bagi mereka.

Sesuatu yang lebih baik jika mereka terus berhenti merokok buat selamanya, bermula dari hasil amalan berpuasa didikan bulan Ramadan yang mulia ini. Ia memberi kebaikan, bukan sahaja kepada aspek kesihatan fizikal, tetapi juga meningkatkan kekuatan dan kekebalan aspek psiko-spiritual mereka.

Berlandaskan kepada kekuatan kerohanian, mereka telah meletakkan bahawa pada bulan ini, keutamaan mereka adalah kepada amalan berpuasa dan berusaha memenuhi segala tuntutan fizikal dan rohani agar bersesuaian dengan fitrah dan syariat puasa, bukannya tuntutan untuk merokok semata-mata.

Selain dari kesan baik kepada aspek fizikal, amalan berpuasa juga memberi kesan yang positif kepada aspek mental dan emosi. Umat Islam diajar agar tidak merosakkan ibadah puasa mereka. Bagi mengekalkan pahala puasa itu diterima Allah, mereka diingatkan untuk melkasanakan pelbagai bentuk ibadah, dan juga meninggalkan semua perbuatan yang boleh membatal atau mengurangkan pahala puasa itu.

Jika tidak, amalan puasa mereka menjadi sia-sia dan tidak mendapat sebarang ganjaran pahala melainkan hanya berlapar dan dahaga semata-mata. Bagi mendapatkan pahala puasa golongan khususil khusus, iaitu berpuasa setaraf golongan para nabi dan rasul, mereka perlu melakukan amalan yang meningkatkan pahala puasa seperti memperbanyakkan ibadah, melakukan amalan-amalan sunat, tidak berfikir negatif, tidak marah, dan elakkan dari berkata-kata sesuatu yang sia-sia dan merosakkan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari, Nabi Muhammad s.a.w. ada bersabda yang bermaksud …puasa adalah menahan diri, apabila sesorang dari kamu berpuasa, maka hendaklah ia menjauhkan dari perbuatan yang tidak elok dan percakapan yang sia-sia, dan jika ada seseorang yang mencela dan mengajak kamu untuk bertelagah, maka hendaklah kamu ucapkan aku berpuasa…

Dari hadis itu, amalan berpuasa sebenarnya boleh dianggap sebagai satu amalan yang menggalakkan manusia untuk berbuat kebaikan sentiasa, dan ia bermula pada peringkat dalaman individu, atau dalam lain perkataan, sebagai amalan bagi mendidik manusia untuk membina kekuatan mental dan emosi ke arah yang lebih baik lagi.

Kekuatan dalaman yang kukuh adalah prasyarat untuk meneruskan mujahadah dalam beribadah dan untuk menjadi seorang hamba yang penuh ketaatan tanpa bantahan. Ia juga merupakan benteng bagi menangkis segala godaan dalam hidup.

Amalan berpuasa juga sebenarnya merancakkan lagi pertumbuhan emosi yang positif di kalangan manusia. Ketika berbuka puasa, ia adalah satu bentuk kenikmatan dan kegembiraan yang Allah beri kepada orang yang berpuasa. Semua orang yang berpuasa menantikan ketibaan saat kegembiraan itu.

Mereka menantikannya dengan penuh rasa gembira, seronok dan penuh mengharap. Emosi yang positif seperti ini amat baik kerana ia memberi kekuatan bagi meneruskan kehidupan menuju pengabdian dan penghambaan kepada Allah Yang Maha Berkuasa dan Agung. Ia juga memberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan hari esok dengan penuh rasa yakin dan gembira.





Our goal is to create a safe and engaging place for users to connect over interests and passions. In order to improve our community experience, we are temporarily suspending article commenting