Hadi: PAS boleh laksana hudud di Kelantan kerana tiada perjanjian dalam Pakatan
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan adalah menjadi hak parti Islam itu untuk melaksanakan hukum Islam hudud di Kelantan kerana perkara itu tidak termasuk dalam persetujuan PAS dengan Pakatan Rakyat (PR).
Abdul Hadi, ketika sidang media sejurus tamat memberikan ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan ke-59 PAS di Stadium Malawati Shah Alam, bagaimanapun menegaskan, Pengerusi DAP Karpal Singh turut mempunyai hak untuk membantah pelaksanaan hudud di negeri yang diperintah PAS itu.
"Hak dia (Karpal) bersuara, hak kita meneruskan apa yang kita perjuangkan. Itu (hudud) tidak ada dalam perjanjian Pakatan Rakyat.
"Masing-masing dengan ideologi masing-masing, kerjasama kita dalam perkara yang berkesamaan dan perkara yang berbeza itu hak masing-masing," katanya kepada pemberita.
Karpal semalam menegaskan kerajaan Kelantan yang dipimpin PAS tidak berkuasa untuk laksanakan undang-undang hudud di negeri itu.
Karpal merayu agar PAS tidak meneruskan cadangan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun ketika ucapan penggulungannya menegaskan, meskipun DAP tidak bersetuju dengan Islam, mereka masih boleh berbincang.
"Kalau dia (DAP) setuju, lama dah dia masuk PAS, atau Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)," katanya.
"DAP tidak setuju, itu biasa... kita boleh bincang."
Isu berkaitan hudud telah menjadi perbincangan antara PAS dan DAP termasuk rakan PKR mereka ekoran bantahan keras DAP terhadap hukum Islam.
Malah, PAS turut mendakwa isu-isu berkenaan turut dijadikan modal politik Umno ketika pilihan raya untuk meraih sokongan pengundi. – 24 November, 2013.