Advertisement

Gadis selamatkan warga emas hidup merempat, tidur tepi tong sampah

Connie menemui Ayob Yap yang tidur di tepi tong sampah di Sungai Buloh sebelum ditempatkan di Baitussalam KL oleh Lembaga Zakat Selangor. — Foto ihsan Twitter/ohconnieee
Connie menemui Ayob Yap yang tidur di tepi tong sampah di Sungai Buloh sebelum ditempatkan di Baitussalam KL oleh Lembaga Zakat Selangor. — Foto ihsan Twitter/ohconnieee

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Seorang gadis tidak menyangka warga emas berbangsa Cina dilihat bersendirian tidur di tepi tong sampah besar di depan kedai cermin mata berhampiran tempat kerjanya telah membuka kisah sisi duka lelaki itu.

Rosnih Sugala, 25, seorang optometris menceritakan detik pertemuan dengan lelaki itu di Sungai Buloh yang dianggap seperti ayah kandungnya sendiri menerusi laman sosial Twitter.

“Pertama kali saya nampak ada gelandangan di kawasan saya. Pakcik mualaf, dibuang dan dihalau oleh keluarganya setelah mengetahui pakcik ni dah masuk Islam.

“Pakcik ni menangis sebab saya satu orang sahaja yang bertanya tentang dia,” tulis Rosnih atau Connie di Twitter.

 

 

Dihubungi ProjekMM, Connie menyatakan kelibat lelaki tersebut disedarinya sejak dua hari lalu.

Keesokannya Connie cuba menegur lelaki itu dengan menghulurkan duit raya dan bertanya lebih lanjut mengenai latar belakang lelaki yang awalnya disangkakan seorang gelandangan.

Menurut Connie, setelah kehilangan isteri akibat barah hati pada 2010 menyebabkan Muhammad Ayob Yap Abdullah @ Yap Swee Kheong, 65, menumpang rumah ahli keluarga di Cheras.

Lantaran kesempitan hidup, Ayob Yap memberitahu Connie bahawa dia telah menyerahkan anaknya berusia 11 tahun kepada sebuah pertubuhan kebajikan selepas kematian isteri 10 tahun lalu.

“Dalam bulan puasa dia dah bawa diri. Keluarga betul-betul buang dia. Sebelum ni kat KL, lepas itu minta kawan hantar mana-mana saja. Dia naik MRT, tak tahu nak ke mana nak pergi dan berakhir di sini (Saujana Utama, Sungai Buloh).

“Pakcik malu dah (tinggal) dekat KL itulah yang dia lari jauh-jauh bawa diri,” kata Connie.

Sebaik mengetahui kisah hidup Ayob Yap, hati Connie tersentuh lalu menawarkan bantuan tempat tinggal dan makanan.

“Pakcik (Ayob Yap) tu nampak macam orang yang pernah ada rumah sebab dia bersih, cuma mask (penutup hidung dan mulut) dia sangat kotor dan hitam tak pernah tukar.

“Pakcik  ini tak meminta langsung! Tak pernah dia meminta-minta saya nampak. Dia simpan kesedihan dia sendirian,” katanya yang turut dibantu dua rakan sekerja menguruskan tempat tinggal dan makan minum sejak pertemuan semalam.

Ditanya apakah yang menarik hatinya untuk membantu Ayob Yap, menurut Connie sifat ihsan Ayob Yap yang ‘pantang’ melihat sampah sarap bertaburan di merata-rata tempat menyebabkan hatinya tergerak membantunya.

“Nampak dia semalam berjalan dekat tepi jalan raya depan tempat kerja saya. Dia jenguk-jenguk masjid yang ditutup dekat tepi jalan tu. Sepanjang dia jalan tu, dia kutip sampah dan masukkan ke tong sampah.

“Saya percaya ada hikmah kenapa Allah pertemukan saya semula dengan uncle hari ini. Dia buat saya rindu ayah saya yang jauh di kampung.

“Saya cakap kat dia, bolehlah pakcik saya anggap macam ayah saya kat sini sekarang,” akui gadis asal Semporna, Sabah.

Meski berdepan kesukaran, Ayob Yap berkali-kali menawarkan bank kuasa miliknya untuk diberikan sebagai balasan yang termampu, menambahkan lagi kesayuan dan menyebabkan Connie tidak menolak tawaran.

“Pakcik nampak saya asyik cas telefon saya. Dia tanya kalau saya suka power bank dia dan (nak) hadiahkan powerbank tu. Dia tak tahu macam mana nak balas jasa saya katanya. Berkaca mata saya.”

Tanpa disedari, kisah yang dicatat Connie di laman Twitter menarik 15,800 tanda suka dan hampir 20,000 perkongsian setakat berita ini ditulis.

“Harapan saya, semoga pakcik sentiasa sihat walafiat.

“Kalau nampak orang tua yang susah, ingat ibu bapa kita semula. Apa perasaan kita kalau ibu bapa kita dibuat macam tu kan?

“Terima kasih pada yang telah membantu dan mendoakan pakcik ni. Saya sangat menghargai. Saya nampak orang Malaysia ramai yang baik-baik dan bersungguh-sungguh ikhlas nak tolong pakcik,” kata Connie lagi.

Sewaktu berita ditulis, Connie berkata pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru saja menghubunginya dan menyatakan kesudian untuk membantu dengan menyediakan tempat tinggal dan kebajikan lain buat Ayob Yap.

Katanya, Ayob Yap akan ditempatkan di Baitussalam di sini selepas menjalani ujian saringan Covid-19 bagi memastikan tiada jangkitan virus.


Related Articles Gadis selamatkan warga emas hidup merempat, tidur tepi tong sampah With fact-checks, Twitter takes on a new kind of task White House dares Twitter in war over Trump tweets