Dua sekolah di Perlis tangguh persekolahan elak pencemaran udara
Dua buah sekolah di Pauh dekat sini diberi kebenaran menangguhkan persekolahan untuk mengelak pencemaran udara dari kawasan pelupusan sampah yang terbakar berhampiran sekolah berkenaan.
Menteri Besar Azlan Man (gambar) berkata sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Pauh dan SRJK (C) Sin Min Pauh dan sesi persekolahan perlu digantikan pada hari lain mengikut jumlah hari penangguhan.
Bercakap kepada pemberita di Kangar hari ini, Azlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, berkata tempoh penangguhan itu bergantung kepada keadaan pencemaran udara sekitarnya.
Katanya Jabatan Pendidikan Negeri memberi kebenaran untuk menangguhkan persekolahan di kedua-dua buah sekolah itu bermula hari ini apabila mendapat pengesahan daripada Jabatan Alam Sekitar bahawa udara persekitarannya tercemar.
Pencemaran udara di kawasan itu berlaku ekoran kebakaran di kawasan pelupusan sampah Padang Siding, kira-kira satu kilometer dari Pekan Pauh sejak petang Selasa lepas.
Azlan berkata setakat ini tidak diketahui punca sebenar kebakaran itu tetapi beliau tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pencari barangan lusuh di kawasan pelupusan.
Separuh daripada keseluruhan 20 hektar kawasan pelupusan itu sudah digunakan sebagai tempat pelupusan sampah dan daripada jumlah itu, lebih 0.4 hektar terbakar.
Azlan berkata walaupun kawasan pelupusan berkenaan dikawal sepanjang masa, tetapi disebabkan terlalu luas, memang sukar untuk mengawal pencerobohan di sepanjang kawasan sempadan masuk ke tapak pelupusan.
Oleh itu, beliau menyarankan agar sekeliling kawasan pelupusan itu dipagar secara lebih selamat supaya tidak mudah diceroboh.
Menteri Besar berkata kerajaan negeri memang ada cadangan untuk memindahkan tapak pelupusan sampah itu ke tempat lain bagaimanapun usaha juga dibuat bagi menaik taraf tapak pelupusan Padang Siding supaya lebih selamat kepada orang ramai.
Dalam perkembangan lain, 155 penghuni asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan di sini mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar hari ini kerana disyaki keracunan makanan.
Semua pelajar berkenaan dikatakan makan malam di dewan makan asrama pukul 10.30 malam dan selepas mengalami cirit-birit dan muntah pukul 3 pagi, mereka terus dibawa mendapatkan rawatan di HTF sebelum dibenarkan kembali ke asrama.
Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Ghazali Othman berkata dewan makan asrama sekolah itu ditutup sementara sehingga selesai siasatan. - Bernama, 13 Februari, 2014.