Bosan Masak Dalam Rumah? Cuba Tengok Reka Bentuk Dapur Luar Rumah Ni!

·6-min read

“Saya dah bosan. Asyik lepak dalam rumah dan terperap dalam dapur, tengok luar tingkap je masa memasak. Kali ni, saya nak cuba masak di luar rumah.”

“Awak buang tabiat apahal ni?”

Itu bukanlah petikan dari filem The Shining, yang menggambarkan suasana cabin fever akibat terlalu lama berkurung dalam rumah!

Boleh jadi ia satu perbualan antara seseorang berumur pertengahan 30an yang terpaksa bekerja dari rumah, dengan pasangannya apabila beliau secara tidak semena-mena berhasrat untuk memasak di luar.

Bak kata pepatah: "Home isn't a place, it’s a feeling." Rumah bukan hanya suatu tempat, ia adalah perasaan. Jadi, mengapa tidak hasrat luar biasa anda itu dijadikan nyata, dengan lebih fleksibel?

Rumah merupakan sebuah ruang berlindung dan tempat peribadi yang didiami oleh keluarga ataupun individu.

Kegunaan rumah bukan sekadar sebagai sebuah tempat untuk berteduh semata-mata, bahkan menjadi tunjang bagi mereka yang menjalankan pekerjaan secara online.

Namun, jantung yang menggerakkan sesebuah rumah adalah kawasan dapur, yang memberikan ‘nyawa’ buat seluruh seisi keluarga.

Tak dinafikan, ada yang gemar membeli makanan di luar, dan ada juga kerap memasak, tetapi setiap sudut dapur itu memberikan peranan yang cukup besar dari segi rasa lidah, dan juga estetika suasananya.

Dengan melihat secara mikro, secara asasnya, sesebuah rumah itu mempunyai dua jenis dapur: Dapur basah dan dapur kering. Apakah ciri-ciri bagi kedua-dua jenis dapur tersebut?

dapur luar rumah, dapur basah luar rumah
dapur luar rumah, dapur basah luar rumah

Dapur Kering

Ia merupakan sebuah ruang penyediaan bagi masakan ringan, atapun untuk makanan yang berasaskan snek (siapa nak sandwic?).

Malah, kebiasaannya ruang dapur kering ini juga menjadi tempat letak perkakas dapur seperti cawan, pinggan, pisau, papan pemotong, dan seumpamanya.

Selain itu, ia merupakan tempat yang selamat bagi barang perkakas elektrik seperti ketuhar, pembakar roti, dan mesin pembancuh kopi, bagi menghindari sebarang litar pintas kerana keadaan setempat yang tidak lembap.

Malah, dapur kering ini juga bersesuaian untuk dijadikan sebagai ruang sosial bagi ahli keluarga serta tetamu sambil menikmati teh/kopi dan biskut misalnya.

Dapur Basah

Rata-rata bahagian ruang dapur basah ini digunakan bagi kerja-kerja seperti memotong bahagian ayam, menyiang ikan, serta memasak atau menggoreng bagi juadah makanan yang ingin disiapkan.

Penggunaan dapur di ruangan memasak juga lebih sesuai jika ianya berhampiran dengan ruang terbuka, agar bau masakan tidak terperangkap dalam ruang dapur basah itu sahaja. Bahkan, ia akan menjadikan aliran pengudaraan lebih baik.

Sudah pasti perkakas dapur seperti set makanan, dapur gas dan periuk nasi sesuai diletakkan di bahagian ruangan ini kerana aktiviti rutinnya yang bersifat ‘berat’, serta memerlukan kerja-kerja pembersihan yang kerap, agar kesan-kesan minyak dan kotoran lain dapat dibasmi.

Kita sambung pula akan hal tentang memasak di luar ini serta susun atur yang boleh anda adaptasikan di rumah anda.

Berikut merupakan 6 contoh bagaimana anda boleh lihat reka bentuk dapur luar rumah anda.

 

1) Dapur Sisir-U

dapur luar rumah, dapur basah luar rumah
dapur luar rumah, dapur basah luar rumah

Dapur jenis ini mempunyai reka bentuk ‘U’, di mana batu konkrit biasanya diaplikasikan sebagai binaan asas dalam melengkapi dapur ini.

Ruang yang besar disertakan meja makan berhampiran dengan dapur, ianya akan dilengkapi dengan ketuhar, dan juga tempat penyimpanan set makanan.

Tambahan pula, terdapat ruang untuk penyediaan makanan, dan anda boleh melengkapi jenis ni dengan apa-apa alat perkakas yang boleh memudahkan penyiapan hidangan sedap!

Jika halaman belakang rumah anda tidak mempunyai keluasan yang cukup besar, maka dapur ini boleh terus disambungkan ke bahagian rumah.

Ia juga lebih sesuai mempunyai sebuah meja yang boleh diduduki 4 atau lebih orang pada satu masa, bagi mengelakkan suasana sesak.

 

2) Dapur 'Terapung'

dapur luar rumah, dapur basah luar rumah
dapur luar rumah, dapur basah luar rumah

Dengan adanya gantungan rel dan rak di bahagian atas, bukan saja perkakas dan herba yang boleh digantung di sana, sekaligus akan mencantikkan makan malam anda jika dekorasi unik dan aksesori lampu LED turut digunakan.

Anda boleh memilih apa saja bentuk untuk kawasan memasak (nak 'U', 'L', atau 'linear' ke), asalkan digunakan bersama meja tinggi dan bangku untuk membentuk suasana bar yang cool!

Tambahan pula, dengan mempunyai sinki, tempat menyimpan set makanan, ruang memotong, serta ketuhar, membolehkan ianya senang digunakan untuk pelbagai aktiviti.

Dapur jenis ni lebih bersesuaian dengan penganjuran acara kecil-kecilan bersama keluarga atau kenalan, kerana lebih mudah untuk menghiasnya mengikut citarasa anda.

 

3) Dapur Kecil Tapi Praktikal

dapur luar rumah, dapur basah luar rumah
dapur luar rumah, dapur basah luar rumah

Sesuai untuk kedua-dua jenis dapur (yang kering ataupun basah), haa jenis ni lah yang mungkin paling kerap dilihat di kebanyakan rumah rakyat Malaysia!

Ianya mempunyai ruang kecil bagi membolehkan kerja seperti memotong daging dan sayuran, serta juga ruang untuk membancuh air dengan tambahan sinki dan paip air di tembok binaan tersebut.

Secara langsung, ia berorientasikan kepada aktiviti memasak yang senang dan terus terang; sesuai untuk semua resipi yang sudah disempurnakan oleh nenek anda.

 

4) Dapur A'la Industrial

dapur luar rumah, dapur basah luar rumah
dapur luar rumah, dapur basah luar rumah

Binaan konkrit yang dilongokkan bersama untuk dijadikan meja penyediaan makanan dan masakan, tambahan dengan kepingan kayu yang tidak pernah lacquer atau varnish; itu saja yang anda perlukan!

ianya mempunyai singki, tempat simpanan terbuka untuk semua barang perkakas dapur, serta herba dan rempah supaya senang untuk dilihat dan memilih.

Reka bentuk begini boleh juga digabung dengan pemanggang, serta tempat meletak arang kayu. Style ini kebanyakannya akan dilihat di rumah orang Barat, dimana makanan dari pelbagai budaya boleh disediakan dengan mudah.

Sesuai bagi kegunaan dapur yang berasaskan aktiviti praktikal, dan untuk rumah yang tidak mempunyai bahagian laman belakang yang luas.

 

5) Dapur Bukan Konvensional

dapur luar rumah, dapur basah luar rumah
dapur luar rumah, dapur basah luar rumah

Binaan berasaskan bentuk 'L' ini dengan pulau (island) senang untuk dibina di mana yang anda nak, oleh itu, ianya amat sesuai jika berada di halaman depan.

Siapa pulak kata yang dapur luar rumah hanya boleh diletakkan di bahagian belakang saja? Bosan juga tengok lorong dan longkang, takde mood nak masak nanti!

Jenis yang ni lebih mesra kepada penyimpanan semua ramuan dan barangan dapur, kerana anda boleh pilih apa jua kombinasi laci, kabinet, dan rak untuk mencipta ruang yang sesuai dengan gaya memasak anda.

Jika halaman rumah anda mempunyai ruang yang mencukupi (jangan pulak terlupa akan ruang untuk meletak kenderaan!), bolehlah letak meja dan kerusi berhampiran. Senang nak enjoy makanan bersama dengan orang tersayang di bawah kelipan bintang.

 

6) Dapur Ketuhar

dapur luar rumah, dapur basah luar rumah
dapur luar rumah, dapur basah luar rumah

Jika anda menggemari jenis masakan yang dimasak dengan menggunakan arang, maka inilah yang paling bersesuaian untuk anda!

Dengan ruang simpanan arang di bawah ketuhar, serta sebuah dapur gril dan dapur gas/elektrik, ianya bersesuaian jika anda seorang yang ingin memasak dalam skala yang cukup besar, sama ada untuk jamuan atau cari pendapatan tepi dengan mengambil tempahan.

Mempunyai ruang yang berbeza di mana ruang memasak berada di suatu tempat khusus, manakala bagi ruang meletakkan barang makanan dan perkakas atau memotong pula berada bertentangannya.

Pembahagian di antara kedua ruang ini juga lebih memberikan cara kerja yang begitu teratur, dan kurang memperlihatkan perkakas dapur yang selerak di pelbagai tempat yang tidak sepatutnya.

Dengan enam rujukan reka bentuk seperti di atas, boleh dinilai sendiri jenis manakah yang lebih praktikal dan juga sesuai untuk rumah anda, mengikut saiz dan estetika. Mengapa tidak mencuba sesuatu yang berlainan seperti memasak di luar rumah?

“Gendang gendut tali kecapi
kenyang perut senang hati”.