Hak berhimpun secara aman

Hishamuddin Rais

Fasal 10 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan jelas tertera bahawa warga negara diberi hak untuk berhimpun. Perlembagaan adalah dokumen induk untuk rujukan wujudiah sesebuah negara bangsa. Tanpa perlembagaan tidak mungkin negara bangsa dapat diwujudkan. Kalau negara itu sebuah rumah maka perlembagaan ini adalah tiang seri yang menupang tegak terdirinya sebuah rumah.

Justeru, Perlembagaan Persekutuan mengatasi semua akta atau rang undang- undang. Seharusnya semua akta dan rang undang-undang tidak akan melanggar semangat dan cita-cita Perlembagaan. Apa yang tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan tentang hak warga untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan cukup meyakinkan. Tetapi proses memperlekehkan Perlembagaan Persekutuan yang sedang berlaku dalam negara kita hari ini cukup memeranjatkan.

Untuk membuktikan perlekehan ini biar saya beri contoh Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang baru sahaja diluluskan di Parlimen. Melalui satu rang undang-undang ini kita semua akan dapat memahami apa yang sebenarnya sedang belaku dalam negara kita. Undang-undang baru ini akan menguji kita semua. Apakah kita sebagai warga akan melakukan sesuatu untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Atau kita tidak tidak melakukan apa apa malah terus berkhayal dengan harapan semuanya akan menjadi baik.

Perdana Menteri Najib Razak ketika memperkenal dan mengulas undang-undang baru ini telah menyifatkannya sebagai satu yang ' revolusiner'. Menurut Najib lagi - undang-undang - ini akan membuka luas ruang demokrasi dan hak warga untuk berhimpun secara aman.

Apabila kenyataan Najib ini diumumkan banyak NGO dan pertubuhan masyarakat sivil telah ketawa terbahak-bahak sambil menutup mulut dari dimasuki angin kosong. Majlis Peguam pula telah memberikan perbandingan bagaimana hak demokrasi untuk berhimpun di Myanmar lebih bebas dari di Malaysia , walhal Myanmar masih lagi di bawah tentera.

Untuk kita berlaku adil kepada Najib - mungkin yang dimaksudkan sebagai revolusiner ialah cara undang-undang ini diluluskan. Undang-undang ini dihantar ke Parlimen secara mendadak. Dipaparkan hanya dua minggu di Parlimen. Pandangan orang ramai, NGO atau pertubuhan sivil tidak diambil kira. Perbincangan penglulusan undang-undang ini hanya belaku selama empat jam. Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah keluar dewan dan tidak mengundi. Mengambil kira semua ini maka langkah Najib ini memang satu yang revolusiner — satu tindakan paling cepat untuk meluluskan undang-undang yang menekan rakyat.

Mari kita semua melihat kenapa hak asasi warga untuk berhimpun secara aman yang tertulis dalam Perlembagaan kini dinafikan. Sebenarnya semua hukum, akta dan undang- undang memiliki latar sejarah. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan kerana dikatakan untuk menentang gerakan bersenjata Parti Komunis Malaya pada tahun 1960 dahulu. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) diluluskan untuk menumpaskan gerakan pelajar yang mula merebak pada tahun 1974.

Undang-undang Perhimpunan Aman ini memiliki latar sejarah yang agak panjang. Saya ingin membawa pembaca kembali ke zaman Reformasi pada tahun 1998 dahulu. Gerakan Reformasi menjadikan demonstrasi dijalan sebagai wadah politik. Demonstrasi jalan raya ini muncul setelah Anwar Ibrahim disingkirkan dari kerajaan. Gerakan politik jalan raya ini muncul secara sepontan. Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri telah menjadi sasaran kutukan hebat. Hasil dari Reformasi Jalanan ialah kejayaan PAS menawan Terengganu dalam tahun 1999.

Penukaran Mahathir dengan Abdullah telah meredakan Gerakan Reformasi. Demonstrasi jalanan diawal pentabiran Abdullah Badawi semakin kurang dan tidak mengampoh. Tetapi, apabila Abdullah Badawi dilihat ' sering tertidur' dan dibaca sebagai pentabir yang gagal maka kemarahan rakyat melonjak naik.

Majlis Peguam telah memulakan wadah politik jalan raya pada bulan September 2007. Para peguam telah berdemo mengepong Putrajaya untuk menuntut pembersihan sistem kehakiman. Ini diikuti oleh Bersih yang turun ke jalan raya pada bulan November juga. Berpuluh ribu penyokong Bersih telah keluar ke jalan raya menuntut pilihanraya adil dan bersih. Akhirnya pada 25 November 2007 — lanskap politik Malaysia telah berubah. Ini berlaku apabila Barisan Bertindak Hak-hak Hindu atau Hindraf mengambil alih jalan raya sebagai panggung politik untuk menunjukan kemarahan kerana selama ini mereka telah ditindas.

Tiga gerakan politik jalan raya ini telah mendidik ramai orang. Warga Malaysia tidak perlu ke Oxford Universiti atau ke Havard untuk belajar politik. Jalan raya di Kuala Lumpur telah menjadi sekolah politik yang terunggul. Menunjuk perasaan di jalan raya telah memperkasakan keyakinan rakyat bahawa berarak beramai-ramai di jalan raya adalah pilihan terbaik jika suara mereka tidak didengar dan dipinggirkan.

Kemarahan rakyat yang turun berdemo di jalan raya ini telah berjaya diterjemahkan kepada undi di PRU ke 12. Rakyat telah mengenepikan Umno dan sekutunya dalam Barisan Nasional pada pilihanraya umum 8 March 2008. Untuk pertama kalinya Barisan Nasional telah dinafikan majoriti dua par tiga di Parlimen. Tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan ini adalah hasil dari gerak kerja politik jalan raya.

Pilihanraya 8 March 2008 juga telah mengajar Umno untuk sedar bahawa hari hari akhir mereka akan sampai. Orang ramai yang telah cekap berpolitik di jalan raya ini hanya menunggu masa untuk menghumbankan kuasa mereka.

Pada 9 Julai 2011 sekali lagi lanskap politik Malaysia berubah. Kali ini Bersih 2.0 telah membawa warga turun ke jalan raya. Untuk kali ke dua dalam sejarah Tanah Melayu dan sejarah Malaysia berpuluh-puluh ribu rakyat telah keluar ke jalan raya menuntut agar pilihanraya yang akan datang ini akan dijalankan dengan bersih dan adil.

Politik jalan raya yang dibawa oleh Bersih 2.0 ini telah memeranjatkan Umno. Dunia telah melihat kemunculan setiakawan anak semua bangsa yang turun menyokong tuntutan Bersih. Politik pecah dan perintah yang selama ini dijalankan telah gagal. Warga Malaysia — anak semua bangsa diseluruh dunia — telah sederap turun ke jalan raya. Paling menonjol ialah kemunculan sokongan anak-anak muda yang sedar bahawa masa depan negara ini berada dalam tangan mereka.

Elit politik yang memerintah sedar bahawa politik jalan raya ini mengancam monopoli kuasa politik dan kuasa ekonomi mereka. Mereka yang selama ini seronok berpesta bangun terkejut apabila membaca Ben Ali dan First Lady Leila Trbelsi dari Tunisia telah lari membawa 60 tan emas ke Saudi Arabia. Elit politik dan kelas pemerintah di Malaysia hampir mendapat serangan jantung apabila membaca berita bagaimana Hosni Mubarak di Mesir telah ditendang keluar oleh anak-anak muda dengan politik jalan raya.

Semua babak-babak politik ini dilihat oleh penasihat dan orang-orang kepercayaan disekeliling Najib. Mereka sependapat bahawa pilihanraya yang akan datang ini akan menentukan nasib Umno dan sekutunya. Jika PRU13 diadakan dan lapan tuntutan dari Bersih masih tidak ditunaikan, maka orang ramai dan para pengundi akan merasa diri mereka ditipu sekali lagi.

Jika lapan tuntutan Bersih 2.0 tidak ditunaikan maka tidak dapat tidak Bersih 3.0 akan muncul. Justeru undang-undang Perhimpunan Aman yang baru diluluskan bertujuan untuk mengenepikan lapan tuntutan Bersih.

Justeru undang-undang Perhimpuan Aman walau pun jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan kerana ini adalah strateji untuk membunuh kemarahan orang ramai yang akan berkumpul dibawah payung Bersih 3.0. Undang-undang ini juga adalah tembok kebal yang akan memastikan elit politik dan parti pemerentah akan terus berkuasa. Undang-undang ini juga adalah percubaan untuk menumpulkan kesedaran politik orang ramai yang telah diperkasakan oleh politik jalan raya.

Apakah undang-undang Perhimpunan Aman ini akan menjadikan politik jalan raya atau tunjuk perasaan sebagai artifek sejarah? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Berita Mutakhir