Anak dan kahwin-kahwin
Pasti ada ayah, ibu, datuk dan nenek yang teringat ketika membesar dahulu pernah 'main kahwin-kahwin'. Pasti ada yang teringat si Anu dan si Anu telah pernah menjadi isteri atau suami. Teringat juga si Polan dan si Polan yang berlakon menjadi anak-anak. Ini pemainan kanak-kanak ketika membesar.
Di zaman kanak-kanak kita tidak faham apa itu 'kahwin-kahwin' dan tidak mengerti apa makna 'anak-anak'. Kanak-kanak hanya meniru apa yang dapat dilihat dihadapan mata.
Kita mendewasa. Akhirnya ada yang berumah tangga. Beranak-pinak. Aman bahagia. Ada yang berkahwin, beranak-pinak kemudian bercerai. Ada yang terus membujang. Kedewasan kita membolehkan kita membuat pilihan. Tetapi sebelum main kahwin-kahwin menjadi kahwin betul-betul, ada satu ruang yang pada anggapan saya amat 'bahaya'.
Kalau roket Apollo hendak ke bulan, ianya wajib melintasi satu ruang yang dipanggil 'Ven Allen Radiation Belt'. Ini ruang yang amat bahaya kerana di ruang ini banyak bertaburan meteorit yang mungkin melanggar Apollo.
Untuk perjalanan mendewasa, manusia juga ada "Ven Allen Belt". Ruang yang saya anggap bahaya ini ialah zaman peralihan dari main-main kahwin ke betul-betul kahwin. Kahwin betul-betul bermakna kita memberi tahu orang ramai bahawa kita meniduri si Mamat atau si Minah ini dengan persetujuan orang ramai. Kita akur kepada permintaan budaya dan agama agar hubungan seksual kita dianggap halal atau hosher.
Ruang peralihan telah meninggalkan dunia kanak-kanak dipanggil zaman remaja. Umur belasan untuk memasuki umur puluhan boleh ditafsirkan sebagai zaman remaja. Tetapi untuk saya yang penting bukan tarikh umur yang dijadikan tanda, tetapi lejangan seksual yang sedang meronta-ronta.
Dalam negara kita ini - terbukti - dari apa yang saya baca - zaman peralihan ini dilihat sebagai zaman yang membawa banyak masalah. Masalah yang saya maksudkan wujud hasil dari lejangan seksual dan ledakan keberahian remaja. Godaan keberahian seksual di zaman peralihan ini dilihat sebagai masalah. Apa yang menjadikan masalah ini besar ialah hingga kini belum ditemui ubatan yang mujarab untuk meredakan lejangan seksual ini.
Bulan lalu kita membaca bagaimana bayi yang baru lahir dicampakkan ke luar tingkap. Kita ternampak gambar sang ibu yang amat muda bergari dibawa ke mahkamah. Kita juga membaca kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagaimana dari tahun 2008 hingga 2010 terdapat 152,182 bayi lahir diluar nikah.
Kalau diambil dari nisbah statistik negara, maka 60% dari bayi yang lahir diluar nikah ini pastilah 'bayi Melayu'. Sayangnya wacana tentang anak luar nikah dan lejangan keberahian ini hanya cuba diselesaikan dengan ajaran moral dan agama.
Malah, saya perhatikan apabila berita bayi 'dicampak ke luar tingkap' dilaporkan berita ini hanya menjadi berita untuk dua hari. Kemudian ianya padam dan tenggelam. Untuk saya berita ini cukup memeranjatkan. Seharusnya berita 'bayi dicampak keluar tingkap' ini akan membangunkan seluruh umat masyarakat Malaysia terutama umat Melayu untuk bersuara.
Cuba ingatkan kembali dengan berita bergambar seorang model cun yang digari kerana terlibat dalam perhimpuan Janji Demokrasi. Lihat betapa ramainya politikus yang heboh. Ramai yang memberi pandangan tentang 'tidak adil' dan 'tidak sopan' anak gadis yang begitu muda digari ke rumah pasong.
Tetapi apabila berita bergambar 'ibu muda campakkan anak' yang juga bergari ke mahkamah, tidak pula ada sesiapa pun yang bersuara. Semua senyap menikus. Saya menunggu untuk melihat siapakah rakyat Malaysia yang pertama bersuara mengeluarkan pandangan.
Harapan saya meleset. Tidak ada Tok Imam, tidak ada suara Mufti, profesor di universiti senyap. Para budayawan tidak bersajak dan kaunselor masalah sosial pun senyap membatu.
Para politikus yang biasanya suka bercakap untuk mencari publisiti tiba-tiba tidak kedengaran suara. NGO Melayu dan NGO Islam tidak terbuka mulut mereka untuk mengeluarkan pandangan.
Lalu saya bertanya - apakah mereka ini telah letih? Apalah mereka telah diserang oleh social fatique? Atau jiwa dan raga mereka telah 'kebal dan lali' kerana telah selalu sangat membaca berita sedemikian?
Berita bayi mati dalam longkang. Mayat bayi ditanam di belakang rumah. Bayi ditemui di ladang Felda. Bayi baru lahir mati dihurung semut. Bayi ditemui ditangga masjid dan dan dan. Berita-berita ini telah tidak lagi memeranjatkan kita semua. Media dan TV kita tidak heboh-heboh seperti Jom Heboh. TV kita tidak memaparkan berhari-hari berita ini seperti berita lawatan Cik Siti Catherine Duchess of Cambridge ke Malaysia.
Berita-berita bayi mati dan bayi ditemui ini telah diterima sebagai lumrah. Berita sedemikian tidak lagi menjadi berita.
Cuba bandingkan pula berita tangkapan khalwat. Saya berani bertaruh setiap kali ada cuti panjang - Hari Tahun Baru atau Hari Merdeka - maka keesokan harinya akan ada terpapar berita jumlah penangkapan anak-anak muda yang 'dikepung' dalam hotel-hotel murah di kota besar dan kecil. Berhari-hari berita tangkapan ini dimainkan oleh media.
Saya juga berani bertaruh pada tarikh 11, 12 dan 13 Febuarari yang akan datang ini pasti akan muncul berita tentang Hari Kekasih/Valentine Day. Maka para agamawan akan bersuara mengeluarkan fatwa dan fatwi yang muluk-muluk tentang bahaya pengaruh Hari Valentine. Berminggu-minggu debat ini akan dipapar media. Media laman sosial juga akan 'viral' dengan kes khalwat.
Apa maknanya semua ini? Untuk saya ini adalah tanda-tanda bahawa masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu/Islam sedang dalam kesakitan yang maha sangat. Ruang Ven Allen Belt yang dipenuhi dengan meteorite ini sedang melanggar pembudayaan Melayu.
Saya bukan sosok agamawan, saya juga bukan terlatih dalam hal kounseling tetapi saya adalah sebahagian dari anggota masyarakat yang saya anggap sedang sakit tenat. Maka untuk ini saya berhak untuk bersuara dan mengeluarkan pandangan.
Pandangan saya tidak berniat untuk mempertikai pandangan agamawan tentang keberahian seksual. Saya juga tidak mempertikaikan ajaran semua agama tentang larangan dan taboo seksual.
Saya memahami hujah moral sebagai cara untuk menangkis lejangan seksual. Saya memahami moral dan didikan agama untuk menjadi benteng keberahian seksual. Tetapi hanya menggunakan hujah dan pendekatan moral jelas tidak mencukupi. Buktinya - penemuan bayi yang dibuang berterusan tanpa henti-henti.
Saya tidak menolak bahawa ada anak-anak muda yang gersang dan menjadi luntur dan lembik jika mereka 'mandi air sejuk'. Ada juga anak-anak muda yang akan menjauhkan diri dari lejangan seksual kerana mereka beriman. Kepada anak-anak muda sedemikian kita wajib merayakan kejayaan mereka ini.
Tetapi rasanya telah sampai masa untuk kita semua menerima hakikat bahawa keremajaan dan kemudaan ada zaman melejang keberahian seksual. Telah juga sampai masanya untuk kita menerima cadangan 'mandi air sejuk ketika merasa gersang' bukan satu jawapan ilmiah. Kita memerlukan lebih dari ini.
Tamadun dan budaya kita hari ini telah mendekatkan besi berani seksual. Zaman dimana anak jantan dan anak betina hanya boleh bertemu dimalam mengemping atau di Pekan Sehari telah lama tamat. Hari ini Mamat dan Minah bersua, berkenal dan bertukar number telefon untuk membuat temujanji. Yang 'rare' dan amat asing ialah bertemu dengan Mamat atau Minah yang tidak berteman atau tidak ber-Facebook.
Jika kita telah bersedia menerima hakikat bahawa Van Allen Belt yang membawa lejangan seksual ini wujud, maka kita juga wajib bersedia menerima hakikat bahawa tidak semua hubungan seksual remaja ini dapat dipatahkan.
Orang ramai sedar bahawa nyamuk boleh membawa demam malaria, maka orang ramai tanpa sengan silu menggunakan kelambu untuk menangkis serangan nyamuk. Orang ramai sedar - ketika hujan - jika tidak mahu basah kita boleh menggunakan payung atau baju hujan. Menggunakan kelambu, payung dan baju hujan adalah langkah rasional.
Justeru, langkah awal yang rasional untuk menghindarkan penemuan bayi mati, pembuangan bayi dan dan dan ialah menerangkan kepada remaja, bahawa jika lejangan seksual sampai dan mandi air sejuk gagal meredakan gersang, maka sila gunakan baju hujan.
Ini kerana zaman main kahwin-kahwin telah tamat. Kali ini jika mian kahwin-kahwin, pasti akan melahirkan anak.