AZMIN PUJI KEMENANGAN PELAJAR MALAYSIA DI OLIMPIAD MATEMATIK ANTARABANGSA DUNIA

NORSHAZLINA NOR AZMAN

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini memuji sembilan pelajar muda Malaysia yang memenangi sembilan pingat dalam Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia (WIMO) di Tokyo baru-baru ini. 

Beliau berkata kemenangan mengagumkan mereka di pentas dunia itu menyaksikan setiap pelajar sekolah rendah, ada yang berusia tujuh tahun, masing-masing berjaya membawa pulang pingat dan satu pencapaian yang amat membanggakan negara.

“Kami sangat berbangga dengan kejayaan cemerlang sembilan pelajar Malaysia ini, membolehkan Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan dengan keputusan terbaik iaitu dua Juara Dunia, enam Emas dan satu Perak.

“Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengiktiraf kejayaan para pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua pelajar yang dinobatkan sebagai Juara Dunia dan penerima Pingat Emas ialah Yeoh Yi Shuen dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa dan Teoh Zhou Zhe (SJKC Min Terk).

-- LAGI

 

AZMIN-OLIMPIAD 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

 

Enam lagi penerima Pingat Emas ialah Alvis Leow Jin Ker, Brandon Choo Sze How, Chai Feng Ze, Hoo Jordan dan Hoo Xinyi dari SJKC Jalan Davidson, serta Tang Yi Xuan (SJKC Serdang Baru 2).

Cheah Jor Wii dari SJKC Perempuan China memenangi Pingat Perak dalam pertandingan itu yang diadakan pada 28 dan 29 Dis tahun lepas.

Pertandingan Olimpiad itu adalah peperiksaan matematik dan peserta diuji pemikiran logik, aritmetik/algebra, teori nombor, geometri dan kombinatorik berdasarkan gred mereka.

-- BERNAMA

 

TAG: Mohamed Azmin Ali, pingat, Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia (WIMO)