Anwar salahkan BN sebagai punca perjanjian damai dengan Najib berkecai

OLEH IDA LIM DAN MD IZWAN

PETALING JAYA, 25 Mei — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menuduh Barisan Nasional (BN) melanggar beberapa syarat semasa perjanjian damai pada April lalu dimana naib presiden Indonesia Jusuf Kalla menjadi orang tengah antara beliau dengan Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tersebut berhujah dalam menghormati perjanjian itu yang mensyaratkan kedua-dua pihak menerima sebarang keputusan pada Pilihan Raya 2013, terdapat beberapa syarat awal yang mesti dipenuhi terlebih dahulu.

“Terdapat beberapa parameter yang dipersetujui. Pertama, etika dalam mengendalikan kempen dan cara hal ehwal media dikendalikan oleh kerajaan supaya tidak dipergunakan untuk menyerang pembangkang... ini tidak berlaku.”

“Syarat kedua pilihan raya yang adil dan bebas termasuk akses kepada media, seperti dituntut Bersih, tapi tidak dipenuhi,” kata ketua umum PKR tersebut kepada wartawan sebaik berakhir Kongres Nasional Ke-9 disini, serta mendakwa penipuan pilihan raya telah terbukti.

“Dan ketiga, adalah kebergantungan semasa menerima syarat itu, pendirian kami adalah menerima keputusan tersebut,” tambah bekas timbalan perdana menteri lagi.

Kenyataan Anwar tersebut hadir selepas laporan Wall Street Journal memetik Jusuf menuduh beliau memungkiri perjanjian damai dengan membantah keputusan pilihan raya tersebut.

Akhbar antarabangsa tersebut mengeluarkan wawancara dengan ketiga-tiga pihak mengesahkan kewujudan perjanjian damai itu, serta memetik Jusuf mendakwa telah menelefon Anwar sehari selepas pilihan raya 5 Mei lalu dan menggesa ketua pembangkang tersebut menghormati komitmen tersebut dan “melihat realiti”.

”Kami mempunyai komitmen,” Jusuf dipetik sebagai berkata. “Tetapi mereka berkata,” Tidak, tidak, tidak, tidak. “”

Tetapi Anwar seolah-olah bertegas hari ini bahawa Jusuf sebenarnya tidak menuduh beliau melanggar perjanjian.

“Saya juga mendapatkan penjelasan walaupun daripada apa yang saya terima. Jusuf Kalla tidak mengatakan begitu, beliau cuba memastikan konteks tersebut difahami dengan baik sepenuhnya.”

Anwar juga berkata secara terbuka membangkitkan isu mengenai etika dalam kempen, pilihanraya yang bebas dan adil, dan peralihan kuasa yang aman, dengan berkata: “Bagi saya, tiada apa-apa rahsia tentang perjanjian itu.”

Apabila ditanya siapa yang telah memulakan perjanjian itu, Anwar berkata bahawa rakan-rakan di negara jiran - Thailand, Indonesia dan Filipina - bimbang tentang kemungkinan peralihan kuasa yang aman di Malaysia.

Beliau kemudian berkata seseorang telah mengambil inisiatif untuk memulakan perjanjian yang mana dia telah bersetuju, tetapi beliau tidak mendedahkan nama individu tersebut.

Anwar berkata perjanjian itu dilakukan tanpa bertemu dengan Najib, sebaliknya berkata mesyuarat sedemikian hanya dilakukan selepas dia telah berunding dengan pemimpin-pemimpin PR lain.

“Ia kira-kira sebulan atau lebih sebelum pilihan raya. Beliau bertemu dengan saya dan Datuk Seri Najib berasingan,” kata Anwar semasa awal sidang media, merujuk kepada Jusuf.

Dalam laporannya, WSJ melaporkan Anwar yang menghubungi Jusuf sebagai orang tengah kepada perjanjian itu dua bulan lalu, yang mana kemudiaannya mendapat komitmen daripada lawannya bagi sebarang keputusan pilihan raya yang aman.

Perjanjian tersebut menghalang kedua-dua pihak daripada melakukan serangan peribadi semasa kempen dan menerima sebarang keputusan pilihan raya - telah dimerterai pada bulan April.

Kedua-dua musuh tersebut, bagaimanapun telah menolak klausa dalam perjanjian yang menawarkan pihak kalah peranan dalam “Kerajaan perdamaian”, tulis WSJ..

Penasihat Najib dilaporkan mengesahkan perjanjian itu, memberitahu WSJ bahawa Anwar telah meminta bantuan Jusuf untuk mendapatkan persetujuan bersama bagi menerima sebarang keputusan pilihan raya dengan aman, tidak kira dengan apa cara sekalipun meskipun sekiranya memenangi dengan majoriti tipis.

“Perdana Menteri mengulangi secara peribadi kepada Jusuf Kalla dan di khalayak ramai sebelum pilihan raya BN akan menghormati kehendak rakyat dan menerima keputusan pilihan raya, walaupun pembangkang menang,” akhbar tersebut memetik kata pembantu Najib.

Menurut akhbar itu lagi, Jusuf dikenali berperanans sebagai orang tengah dalam usaha keamanan sejak beliau menjadi naib presiden dari 2004 hingga 2009, malah telah berbuat demikian di Thailand dan Sri Lanka bagi membantu menyelesaikan konflik di seluruh kepulauan Indonesia.

Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Najib dan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di Putrajaya dalam satu persaingan sengit yang menyaksikan Anwar dan Pakatan Rakyat (PR) memenangi undi popular tetapi masih tewas dalam pilihan raya.

Anwar tidak berpuas hati dan PR telah mengadakan perhimpunan besar-besaran di seluruh negara sejak berakhir pilihan raya baru-baru ini, serta menegaskan bahawa pilihan raya itu telah dicuri daripada mereka melalui penipuan yang sangat jelas dan berleluasa.

Dalam salah satu ucapan perhimpunan, Anwar pernah berikrar tidak akan menyerah kalah sehingga PR memperoleh kemenangan yang sebagai kerajaan sah di Putrajaya.

Anwar, 65, juga menangguhkan rancangan persaraannya dan masih bertekad untuk berjuang.

Salah satu pertikaian yang menjadi alasan buat PR adalah undi popular dimana BN hanya memperoleh kurang 48 peratus daripada jumlah keseluruhan undi manakala PR mendapat majoriti sebanyak 51 peratus.

Namun taburan pengundi yang tidak sekata di banyak kawasan dimana PR menyalahkan persempadanan semula oleh BN sebagai punca mereka hanya mendapat 89 kerusi Parlimen berbanding BN sebanyak 133 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi walaupun memenangi undi popular.

Selain daripada perhimpunan “Black 505” yang berjaya menarik ribuan orang ramai, PR juga akan memfailkan petisyen bagi membantah keputusan pilihan raya di 27 kawasan.