Advertisement

Aliff pertahan kunjungan ke rumah balu Abam, lapor polis (VIDEO)

Datuk Seri Aliff Syukri mempertahankan tindakan beliau mengunjungi rumah keluarga balu Allahyarham Abam Bocey di Sabak Bernam. — Foto ihsan Instagram/Aliff Syukri
Datuk Seri Aliff Syukri mempertahankan tindakan beliau mengunjungi rumah keluarga balu Allahyarham Abam Bocey di Sabak Bernam. — Foto ihsan Instagram/Aliff Syukri

KUALA LUMPUR, 21 Feb — Jutawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri mempertahankan tindakan beliau mengunjungi rumah keluarga balu Allahyarham Abam Bocey di Sabak Bernam.

Menerusi kemas kini di Instagram, Aliff memuat naik foto dan klip video lawatan beliau bersama penerbit saluran YouTube peribadinya, Junaidah Ayu ke rumah keluarga Abam bertujuan menziarahi dan menyampaikan bantuan.

Aliff turut menafikan kunjungan itu bukan secara mengejut sebaliknya telah dimaklum dan dipersetujui kedua-dua pihak beberapa hari sebelum kunjungan.

 

 

“Saya tak salahkan dan menangkan mana-mana pihak. Saya hanya mendengar sahaja sebab saya tak nak mencari salah sesiapa,” kata Aliff dalam hantaran semalam.

Hantaran Instagram yang turut mengepil video klip berdurasi 2 minit 40 saat kunjungan beliau ke rumah balu Abam, Nor Hidayah Mohd Ali disambut baik keluarga itu.

“Buktinya siap makan-makan lagi. Jadi, saya rasa tak adil jikalau saya dituduh “menerjah” dan melanggar sesuka hati saya.

“Hanya kerana tajuk-tajuk yang diletakkan di media memberi unsur negatif ke atas nama saya dan mereka yang membaca pula tidak melakukan apa-apa inisiatif untuk selidik perkara yang sebenar,” katanya.

Kisah pertemuan Aliff dengan balu Abam mendapat tentangan daripada adik Abam iaitu Ali Puteh selepas Aliff membuat siaran langsung di Facebook.

Ali sempat memuat naik status di Instagramnya memarahi Aliff dan Hidayah kerana menyingkap kisah selepas kematian Abam.

Menerusi ‘live’ itu, Hidayah menceritakan kisah kereta suami yang dipakai sebelum ini telah ditarik oleh keluarga Abam menyebabkan Hidayah terpaksa menggunakan khidmat Grab.

Aliff juga sempat bertanyakan tentang perancangan hidup Hidayah dalam membesarkan anak-anak selepas ketiadaan Abam serta bertanyakan tentang harta peninggalan arwah Abam dalam video tersebut yang kemudian dibalas Hidayah agar Aliff merujuk dengan pihak di sebelah sana (keluarga Abam).

Lantaran itu, Aliff mendapat kritikan langsung daripada Ali, menyalahkan pengasas D’Herbs itu kerana cuba meraih publisiti dan mengambil kesempatan terhadap keluarga tersebut.

Video versi penuh pertemuan Aliff dengan keluarga itu kemudian menjadi tular di YouTube dengan 1.2 juta tontonan.

Ramai pihak menganggap nasib Hidayah tidak terbela dan turut mengecam keluarga itu serta Aliff.

Susulan itu, Aliff bersama penerbitnya membuat aduan di Balai Polis Kota Damansara kerana mendakwa menerima ugutan termasuk ancaman bunuh.


Related Articles Terharu dipuji ‘mat salleh’, Ernie Zakri lebih bersemangat lepas AJL34 Lepas buka tudung, A. Aida digoda tujuh lelaki, ‘boroi pergi jauh-jauh’ Nikah 20022020, Emma Maembong sah isteri juruterbang