7 Inspirasi Rumah Tepi Pantai Untuk Anda

·6-min read

Pepatah Melayu ada mengatakan, “Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”. Itu zaman dulu. Waktu di mana bila nak pindah, orang kampung gotong-royong tolong angkat rumah.

Sekarang ni pula, ada banyak peningkatan dalam dunia seni bina kalau anda nak betul-betul nak buat rumah di tepi pantai.

Biasanya rumah macam ni orang jadikan homestay atau AirBnB untuk pelancong. Sambil-sambil tu, anda boleh jadikan ia rumah persinggahan dan bawa anak bini bila tiba cuti sekolah.

Kalau anda ada pasang angan-angan untuk melabur dalam rumah tepi pantai, di sini kami senaraikan 7 seni bina untuk inspirasi anda.

 

1) Rumah Retro Atas Tiang

rumah tepi pantai
rumah tepi pantai

Rekaan ni memang klasik. Dari dulu, rumah dengan tiang tinggi macam ini dibina untuk melindungi struktur rumah daripada air pasang dan juga ombak. Dan kalau hujan lebat atau musim tengkujuh, ia boleh melindungi rumah daripada banjir.

Biasanya tiang ini setinggi 8 hingga 15 kaki dari paras laut, dan dibina daripada keluli dan konkrit. Oleh kerana tinggi tiang boleh berbeza-beza, anda masih boleh bina rumah walaupun di atas tanah yang tidak rata.

Malah kalau anda pernah tinggal dalam rumah ini waktu kecil dulu, anda mesti teringat macam mana atuk jemur getah bawah rumah, atau segala duit syiling yang terjatuh daripada lantai ke bawah tanah.

Tarikan utama rumah macam ini adalah reka bentuknya yang mengekalkan ciri-ciri tradisional. Bila buka tingkap pun rasa nak nyanyi, “Adabi, melazatkan~~~”

Rekaannya memang tradisi, tapi sebenarnya boleh dimodenkan, seperti dibuat oleh Nik Aimi Nik Rasdee di Bachok, Kelantan ni. Hasilnya memang cantik! Tinggi pun tinggi.

rumah tepi pantai
rumah tepi pantai

 

2) Chalet Tepi Pantai

rumah tepi pantai
rumah tepi pantai

Rumah macam ni rupanya macam pondok dengan bahan binaan utama yang terdiri daripada kayu. Chalet biasanya dibina di atas tiang yang agak rendah, berserta dengan tangga kecil.

Reka bentuk chalet biasanya menonjolkan bumbung yang “tergantung”, satu ciri-ciri seni bina yang berasal dari kawasan Alp di Eropah (contohnya Swiss Alps).

Bumbung jenis ini juga melindungi rumah daripada angin kencang, jadi sesuai untuk diletakkan di tepi pantai.

rumah tepi pantai
rumah tepi pantai

Bagusnya rumah jenis chalet ni adalah ia memang sesuai kalau anda nak jadikan sebagai AirBnB. Saiz chalet biasanya cukup-cukup boleh isi satu keluarga.

Ada juga yang menempatkan dua atau tiga chalet bersebelahan dan berkongsi satu ruang beranda besar, untuk anda lepak atau masak BBQ.

 

3) Rumah Tepi Pantai Kontemporari

rumah tepi pantai
rumah tepi pantai

Anda tak semestinya kena ikut binaan rumah yang biasa. Sebaliknya, anda juga boleh pilih design kontemporari yang tidak simetri (asymmetrical) dan banyak menekankan kepada garisan dan bentuk geometri.

Reka bentuk ini biasanya menampilkan pintu dan tingkap yang besar. Jadi bila anda buka, anda dapatlah rasa angin sepoi-sepoi bahasa masuk dalam rumah. Tak perlu hidupkan kipas atau air-cond pun, boleh jimat bil elektrik.

rumah tepi pantai
rumah tepi pantai

Satu lagi ciri yang ada pada rumah jenis kontemporari ini adalah ianya dibina supaya anda boleh tengok pemandangan pantai dari dalam rumah. Tingkap yang diperbuat daripada kaca adalah sangat besar, kadang-kadang daripada lantai sampai ke siling, kadang-kadang dibina sebagai dinding.

Tambahan lagi, ia selalunya dilengkapi tingkap jenis “clerestory window”, iaitu tingkap kaca kecil yang dipasang berdekatan dengan siling untuk membolehkan cahaya matahari masuk.

PropertyGuru Tip

Gaya rumah kontemporari tak sama dengan gaya rumah moden yang popular sekitar 1920-an ke 1950-an.

 

4) Rumah Tepi Pantai Kontena

rumah tepi pantai
rumah tepi pantai

Rumah kontena dah popular di Malaysia sejak beberapa tahun lepas, dan sekarang ni mula dibina sebagai homestay, kedai makan, dan juga hotel.

Oleh kerana bahan utama bagi rumah ini adalah kontena semata-mata, kos keseluruhannya adalah jauh lebih rendah daripada rumah biasa.

Kontena itu sendiri jadi lantai dan dinding. Bukan sahaja kos lebih senang dikira (sebab takkan berbeza sangat daripada kiraan asal), malah tempoh pembinaan adalah jauh lebih pendek.

Ada juga yang mengatakan ia lebih mesra alam kerana anda mengitar semula bahan yang terpakai.

rumah tepi pantai
rumah tepi pantai

Oleh kerana kontena ini memang dihasilkan untuk menahan beban serta cuaca, binaannya adalah lebih kukuh dan tahan lasak berbanding struktur rumah yang biasa.

Saiz rumah kontena adalah versatil bergantung kepada keperluan dan kreativiti anda. Kontena paling kecil memberi ruang lantai seluas 100 kaki persegi. Ada yang sampai menggabungkan lapan kontena untuk membina rumah dua tingkat pada sekitar 1400 kaki persegi.

Anda boleh cari kontena terpakai dari pelabuhan, ataupun daripada syarikat logistik.

 

5) Rumah 'Shingle' Tepi Pantai

rumah tepi pantai
rumah tepi pantai

Kalau anda cari maksud perkataan "shingle", anda mungkin akan dapat kayap. Tapi kami bukan nak cakap tentang penyakit tu ya, tapi tentang reka bentuk rumah kolonial yang dipopularkan oleh golongan arkitek dan seni bina dari New England.

Rumah jenis ini menggabungkan reka bentuk tradisional England dengan bahan binaan yang tahan cuaca.

rumah tepi pantai
rumah tepi pantai

Ia biasanya menampilkan lapisan kayu, bumbung jenis “gambrel”, dan juga beranda yang besar. Ia juga direka dengan rupa simetri, contohnya tingkap atau tiang yang diulang.

Sebagai sentuhan tambahan, rumah “shingle” ini juga biasanya ada pagar kecil putih di sekeliling. Ada juga yang meletakkan serombong (kadang-kadang tak berfungsi pun, tapi sebagai hiasan), untuk melengkapkan gaya kolonial dahulu kala.

 

6) Rumah Tepi Pantai Australia

rumah tepi pantai
rumah tepi pantai

Australia memang terkenal dengan pantai tumpuan pelancong. Malah, lebih daripada 85% populasi Ausralia tinggal sekitar 50km sepanjang pantai. Jadi tak hairanlah bila dunia seni bina Australia ada identiti rumah pantai mereka sendiri.

Ciri utama pada reka bentuk rumah pantai Australia adalah pelan rumah terbuka, di mana ia menggabungkan bilik berbeza kepada satu ruang besar yang boleh digunakan untuk pelbagai fungsi.

Ia juga digabungkan dengan reka bentuk yang minimalis, supaya penghuni rasa bebas untuk bergerak di dalam rumah serta menggalakkan aktiviti komunal.

rumah tepi pantai
rumah tepi pantai

Rumah pantai Australia juga menggabungkan beberapa prinsip reka bentuk rumah kontemporari, terutamanya tingkap atau dinding kaca yang sangat besar, supaya anda boleh menikmati pemandangan pantai.

Pada masa yang sama, tingkap ini boleh dibuka supaya anda boleh biarkan angin masuk.

Pastikan kaca tersebut dipasang dengan lapisan “glazing” yang cukup supaya ia boleh mengekalkan suhu rendah, nak lagi dengan cuaca Malaysia yang terik ini.

Pastikan juga ia dilengkapi dengan bidai atau tirai untuk melindungi anda daripada cahaya matahari apabila perlu.

 

7) Vila Tropika Bali

rumah tepi pantai
rumah tepi pantai

Salah satu prinsip yang penting dalam budaya Bali adalah keharmonian dengan alam sekitar, dan prinsip ini juga diserapkan dalam dunia seni bina mereka.

Bahan-bahan yang digunakan untuk vila jenis Bali adalah murah dan senang didapati daripada pembekal tempatan termasuklah atap jerami, kayu pokok kelapa, kayu jati, tiang buluh, batu dan juga batu-bata.

rumah tepi pantai
rumah tepi pantai

Antara ciri paling penting bagi vila Bali adalah sistem pengudaraan yang cukup, dengan tingkap yang besar, serta banyak ruang kosong antara dinding dan juga siling.

Ia juga biasanya menampilkan ruang laman luas untuk aktiviti komunal dan juga menempatkan tumbuhan-tumbuhan hijau.

 

Apa Seni Bina Rumah Tepi Pantai Kegemaran Anda?

Rumah pantai adalah satu pelaburan yang besar. Malah setelah siap, ia perlu penjagaan yang kerap jika anda ingin menjadikannya sebagai homestay atau AirBnB. Namun dengan pengurusan yang bijak, pulangannya juga lumayan!

Dan seperti yang anda telah lihat dalam artikel ini, anda boleh pilih daripada reka bentuk yang sangat mudah seperti rumah kontena, atau bina dirikan vila daripada bahan-bahan yang murah seperti vila gaya Bali!

Semuanya bergantung kepada cita rasa dan kemampuan anda. Selamat berinspirasi!

Kalau anda ada rumah kampung nak cari inspirasi moden bolehlah baca 7 Reka Bentuk Rumah Kampung Moden yang kami sediakan ni!