6 Cara Buat Untung Dengan Hartanah Sublet

·10-min read

Bila sebut saja pelaburan hartanah, benda pertama yang selalunya muncul di fikiran untuk jana keuntungan ialah kena beli dan jual hartanah.

Namun, seperti yang ramai sedia maklum, urusan jual-beli ni bukannya mudah sebab proses nak membeli atau menjual hartanah agak panjang dan rumit.

Masa nak beli, bukan sekadar kena fikir tentang kelulusan pinjaman perumahan, tetapi bayaran wang pendahuluan dan juga keadaan rumah yang nak dibeli.

Bila nak jual pula, mungkin akan ada kos khidmat ejen hartanah, peguam dan mestilah nak rumah dijual pada harga yang berbaloi.

Itu baru sikit tau; ada banyak lagi sebenarnya yang perlu dipertimbangkan.

Tapi, ada berita baik bagi mereka yang masih mencari pelaburan hartanah yang tak membabitkan modal besar dan paling penting tak perlu pening-pening kepala nak beli hartanah. Apakah pelaburan tersebut?

sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah
sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah

Dalam artikel ini kami akan kongsikan tentang strategi pelaburan yang dinamakan bisnes sublet!

Sebenarnya, sublet bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia sebab ramai orang yang dah lama berkecimpung dengan bisnes ni. Walau bagaimanapun, masih ramai yang tak tahu tentang strategi pelaburan sublet dan cara yang betul untuk lakukannya.

Setiap perniagaan pasti ada undang-undang kena ikut, kan? Jadi, sebelum nak mulakan bisnes sublet, penting untuk anda tahu selok beloknya dulu.

Jom teruskan membaca panduan ini untuk mengetahui apakah maksud sublet, cara yang betul untuk mendapatkan untung, serta risiko yang mungkin berlaku dan kos yang diperlukan.

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Sublet Rumah?

Secara amnya, sublet ataupun subsewa adalah aktiviti sewa atas sewa. Kiranya, kita sewa dulu sebuah rumah daripada pemiliknya sendiri, lepas tu kita cari individu lain untuk menyewa rumah, bilik-bilik atau ruangan yang ada.

Anda tak perlu beli hartanah untuk bisnes sublet, tapi masih perlu modal untuk menyewa, deposit dan beberapa perkara lain. Kita akan lihat apakah kos-kos tersebut di akhir panduan ni.

sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah
sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah

Dua jenis sublet yang perlu anda tahu berkaitan rumah kediaman adalah:

Sublet rumah

Sewa sebuah rumah dan kemudiannya menyewakan semula kepada orang lain

Sublet bilik

Sewa sebuah rumah tetapi sewakan bilik lain dalam rumah itu kepada orang lain

Selepas mengetahui perbezaan antara kedua jenis sublet ini, anda akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai pelaburan mana yang lebih sesuai dengan anda.

Apa yang perlu anda ingat adalah samada sublet rumah atau bilik, penyewa akan berurusan terus dengan anda dan bukannya tuan rumah. Jadi, jika ada sebarang masalah, anda lah yang perlu bertanggungjawab.

Sah Ke Bisnes Sublet Di Sisi Undang-Undang?

Rasanya ramai yang tertanya-tanya soalan ni sebab risau juga kalau bisnes ni tak dibenarkan atau salah di sisi undang-undang. Yelah, nak sewakan hartanah orang lain bukan milik sendiri, kan?

Jika bercakap tentang akta, sehingga kini sebenarnya masih belum ada undang-undang khusus untuk aktiviti sewa menyewa di Malaysia. Antara akta yang boleh digunapakai sementara menunggu cadangan Akta Sewaan Kediaman (RTA) dibentangkan dan dimuktamadkan termasuk:

  • Akta Kontrak 1950

  • Akta Distress 1951

  • Akta Specific Relief 1950

Bagi pelaburan sublet, ianya lebih bergantung kepada terma dan syarat yang diletakkan oleh tuan rumah di dalam Surat Perjanjian Sewa Rumah.

sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah
sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah

Kalau tuan rumah membenarkan aktiviti sublet dan ada hitam putih mengenainya, maka anda boleh sublet rumah atau bilik sewa tersebut.

Berbalik kepada soalan tadi, pelaburan sublet adalah sah di sisi undang-undang asalkan mendapat persetujuan daripada tuan rumah dan ianya terkandung di dalam perjanjian sewa anda.

Kalau tuan rumah tak benarkan, jangan cuba-cuba ya sebab anda boleh didakwa kerana melanggar perjanjian.

Anda dah tahu jenis pelaburan sublet yang ada, sekarang tiba masanya untuk kita lihat apakah cara sublet yang boleh dilakukan untuk jana keuntungan.

6 Cara Sublet Rumah Untuk Raih Keuntungan

Jika betul strateginya, bisnes sublet mampu menjana pendapatan lumayan, baik untuk sampingan ataupun sepenuh masa! Ada 6 cara yang boleh anda pilih:

1. Sewakan sebuah rumah

Caranya, anda sewa dulu keseluruhan rumah pada harga yang ditetapkan oleh tuan rumah. Lepas tu, anda cari penyewa dan sewakan pada kadar yang lebih tinggi. Selalunya tuan rumah yang ada kekangan masa atau sukar mencari penyewa akan rela hati membenarkan anda sublet.

2. Sewakan mengikut bilik

Jika anda rasa sukar untuk mencari keluarga atau penyewa yang inginkan sebuah rumah. Anda boleh sewakan setiap bilik kepada penyewa yang berlainan.

Cara ni mungkin boleh jadi lagi menguntungkan dari konsep sebuah rumah sebab kadar setiap bilik sewa boleh ditetapkan mengikut saiz, kelengkapan dan samada mempunyai bilik air atau tak.

sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah
sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah

3. Sewakan mengikut individu (per head)

Kalau anda dapat mencari individu yang tak kisah tentang jumlah penyewa dalam sesebuah rumah atau bilik (pastikan dapat kebenaran tuan rumah juga), anda boleh sewakan mengikut harga sekepala. Lagi ramai penyewa anda, lagi banyaklah duit sewa anda dapat.

4. Sewakan dengan perabot

Konsep ni boleh digunakan samada untuk sublet rumah atau bilik. Jika anda boleh keluarkan modal lebih sikit untuk menyediakan keperluan asas seperti TV, katil, peti ais, mesin basuh dan sebagainya, anda boleh meletakkan harga sewa yang tinggi.

Anda boleh sewakan unit lengkap sepenuhnya dengan perabot (fully-furnished) atau hanya separa perabot (partly-furnished).

5. Sewakan tanpa perabot

Sekiranya anda rasa terbeban untuk membeli kelengkapan rumah atau bilik, elok juga anda sewakan tanpa perabot.

Walaupun anda tak dapat meletakkan caj ekstra ke atas perabot atau peralatan dalam unit, sekurang-kurangnya anda tak pening nak fikirkan samada penyewa menjaga barangan tersebut dengan elok atau tak.

Dah banyak kan kes di mana barang-barang rosak dan keadaan rumah berselerak lepas penyewa keluar rumah? Bukan tu saja, siap ada yang bakar rumah bila diarah keluar!

sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah
sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah

6. Sewakan sebagai homestay

Konsep ni pun boleh tahan femes juga, lebih-lebih lagi di kawasan tarikan pelancong. Anda boleh juga jadikan keseluruhan rumah sebagai homestay ataupun asingkan mengikut bilik.

Pendapatannya mungkin tak tetap kerana sewa hanya untuk jangka pendek, tapi kalau homestay anda dapat jadi “hotspot”, pastinya akan selalu ada yang menyewa.

7 Langkah Untuk Memulakan Bisnes Sublet

Bila dah tahu semua strategi di atas tadi, rasa macam tak sabar pula nak mulakan pelaburan sublet, kan? Sebelum tu, ada 7 perkara penting yang perlu anda lakukan, iaitu:

1. Cari lokasi tumpuan ramai

Setiap kali ada perbincangan hartanah, lokasi adalah perkara utama yang sering diperhatikan. Lagi-lagi untuk bisnes sublet yang memerlukan anda mencari penyewa dengan mudah.

Pastikan anda cari hartanah di kawasan tumpuan yang berdekatan pengangkutan awam dan mempunyai kemudahan yang banyak. Untuk mencari rumah sewa atau melihat kadar sewa bagi lokasi-lokasi tertentu, boleh semak di laman sewa PropertyGuru.

2. Tanya pemilik rumah tentang sublet

Bila dah jumpa rumah yang sesuai, anda perlu berhubung dengan tuan rumah samada secara langsung atau melalui ejen. Anda perlu bertanya samada pemilik membenarkan sublet dengan menyewakan kepada orang lain.

sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah
sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah

Kalau tuan rumah tu setuju, boleh terus bincang tentang harga sewa dan perjanjian sewa rumah. Tapi, kalau tak setuju, anda boleh cuba pujuk tuan rumah atau lebih baik, cuba cari rumah lain.

3. Pastikan ada Surat Perjanjian Sewa Rumah

Surat ni sangat penting dalam proses sewa menyewa bagi mengelakkan masalah pada masa akan datang. Jadi, anda kena pastikan setiap syarat yang ada dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Jika tuan rumah membenarkan sublet, pastikan ianya tertulis di dalam surat perjanjian sewa rumah berserta apa saja terma berkaitan sublet yang ditentukan oleh pemilik. Bila dah muktamad, anda dan tuan rumah perlu menandatangani perjanjian tersebut.

4. Tentukan strategi sublet yang sesuai

Bila dah dapat sewa rumah, barulah anda boleh memutuskan strategi sublet mana yang sesuai.

Pada masa yang sama, periksa setiap bilik untuk memastikan semuanya sedia untuk dihuni. Tentukan juga jika anda akan menyediakan perabot atau tak sebelum mengeluarkan iklan.

5. Iklankan unit sublet secepat mungkin

Kalau boleh, 2-3 minggu sebelum anda masuk rumah sewa atau memulakan tempoh sewa, anda dah iklankan unit sublet yang ada.

PGMY_PropSite_Guides_Banner_610x457px_BM (1)
PGMY_PropSite_Guides_Banner_610x457px_BM (1)

Tak perlu pun menyatakan yang unit tersebut adalah sublet, tapi letakkan semua maklumat penting berkenaan rumah/bilik yang hendak disewakan. Anda disarankan untuk iklan awal supaya dapat mengelakkan dari rumah/bilik tak berpenghuni.

Jika lambat dapat penyewa, maknanya anda lah yang kena tanggung harga sewa tu. Rugi nanti!

6. Sediakan surat perjanjian antara anda dan sub penyewa

Tadi dah ada surat perjanjian dengan tuan rumah, kan? Oleh kerana anda menyewakan rumah kepada sub penyewa, perlu ada surat perjanjian lain untuk meletakkan syarat dan peraturan bagi sub penyewa.

Apa saja yang terkandung di dalam terma berkaitan sublet di dalam surat perjanjian rumah sewa dengan pemilik asal perlu diletakkan di dalam surat perjanjian yang kedua ni.

7. Sewakan rumah dan pantau sub penyewa anda

Bila surat perjanjian dengan sub penyewa dah selesai dan kadar sewa telah ditetapkan, tibalah masa untuk menyewakan rumah atau bilik sublet anda.

Walaupun penyewa berurusan dan membuat bayaran kepada anda, rumah tersebut tetap hak milik tuan rumah. Maka, anda perlu pantau sub penyewa agar sentiasa mematuhi syarat yang ditetapkan.

sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah
sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah

Jangan lupa, jika sub penyewa anda lari atau merosakkan rumah sewa, anda yang perlu bertanggungjawab.

Selain tu, ada beberapa perkara penting lain yang perlu anda ambil perhati untuk memastikan bisnes sublet anda selamat dan teratur.

  • Sentiasa berwaspada kepada kecurian atau penipuan

  • Buat buku nota rujukan dengan gambar tentang keadaan asal rumah

  • Mula mencari penyewa di kalangan keluarga dan kenalan terdekat dulu

  • Tapis bakal penyewa supaya dapat penyewa yang bagus

Apakah Hak Tuan Rumah, Anda & Sub-Penyewa?

Tak kira apakah status anda dalam bisnes sublet ni, semuanya ada hak masing-masing. Mari kita selongkar sikit hak-hak tersebut.

Hak Tuan Rumah

Hak Anda (Penyewa Utama) & Sub Penyewa

Menetapkan tempoh sewaan dan kadar deposit

Mendapat semula deposit bila keluar tanpa masalah

Menetapkan bila dan bagaimana sewa perlu dibayar

Diberi kadar sewa yang berpatutan dan sesuai dengan keadaan rumah

Meletakkan penalti untuk bayaran lewat

Tidak boleh dihalau atau diarah keluar sesuka hati

Membenarkan penyewa tambahan atau tak

Tuntutan kos baik pulih

Membenarkan haiwan peliharaan atau tak

Perlu diberi privasi sebagai penyewa

Disebabkan anda dan sub penyewa kedua-duanya dikira sebagai penyewa, hak pun haruslah sama. Ini hanyalah beberapa contoh hak yang ada. Namun, semuanya perlu dinyatakan dengan jelas di dalam surat perjanjian sewa jika mahu setiap hak dilindungi.

PropertyGuru Tip

Akan ada tuan rumah yang ragu-ragu dengan idea sublet. Sebab tu kalau tengok perjanjian sewa rumah, rata-rata tuan rumah akan letak klausa tak membenarkan sublet atau penyewa tambahan. Tapi, anda mungkin boleh meyakinkan pemilik dengan perjanjian tertentu. Kena buat tuan rumah yakin yang anda boleh menjaga hartanah mereka dengan baik

Apakah Risiko Bisnes Hartanah Sublet?

Apa saja pelaburan yang anda pilih, pasti ada risikonya yang tersendiri. Samalah juga dengan konsep bisnes sublet. Anda memang tak perlu nak dapatkan pinjaman perumahan untuk beli rumah, tapi risiko yang mungkin dilalui bila buat sublet adalah:

1. Sewa berjalan walaupun tiada penyewa

Anda sebagai penyewa utama masih perlu membayar sewa walaupun tak ada sub penyewa di rumah sewa tu.

sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah
sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah

Bayangkan buat sublet homestay, lepas tu seluruh negara kena perintah kawalan pergerakan! Memang tak ada orang nak sewa sebab tak boleh bercuti dan sebagainya.

Kalau tuan rumah boleh kurangkan harga sewa takpe, tapi kalau tak menangis di bucu katil fikir macam mana nak bayar sewa bulanan.

2. Sub penyewa tak mematuhi syarat surat perjanjian

Sekiranya sub penyewa tak bayar sewa atau hilang selepas merosakkan kemudahan yang disediakan tuan rumah, anda juga yang kena ganti rugi.

Sebab tu jugalah, dapat penyewa yang baik, bagus dan tak cerewet adalah satu rahmat tau bagi bisnes sublet. Sejuk hati bila tengok rumah atau bilik sewa teratur dan dapat bayaran pula tepat pada masanya!

3. Kadar sewa lebih tinggi berbanding harga pasaran

Sebagai tuan sublet, anda perlu tahu yang kadang-kadang kadar sewa anda mungkin lebih tinggi berbanding rumah sewa lain dalam kawasan yang sama. Semuanya sebab anda sewa atas sewa.

Jadi, anda mungkin boleh bincang dengan tuan rumah untuk merendahkan sikit kadar sewa supaya sewa tak menjadi mahal sangat. Salah satu lagi solusi ialah anda kena keluar duit sikit untuk mencantikkan dan menyediakan kemudahan yang setara dengan harga.

sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah
sublet, rumah sewa, bilik sewa, sewa rumah

Berapa Kos Mula Bisnes Hartanah Sublet?

Akhir sekali, kita nak tengok kos apa yang diperlukan untuk mulakan bisnes sublet. Agak-agaknya berapa ringgit nak kena ada ni?

Antara kos yang nak disediakan adalah untuk:

  1. Deposit pada tuan rumah (selalunya 2 atau 3 bulan sewa)

  2. Deposit utiliti (selalunya 1 bulan sewa)

  3. Baik pulih jika ada kerosakan

  4. Ubah suai yang dibenarkan tuan rumah

  5. Kemudahan asas seperti perabot dan peralatan elektrik (jika perlu)

  6. Bayaran peguam menyiapkan surat perjanjian

  7. Iklan jika menggunakan platform berbayar

Mungkin tak semua kos ni termasuk dalam senarai anda, tapi ianya boleh dijadikan sebagai rujukan untuk anda mengira anggaran kos rumah yang ingin disewa.

Memang tak dinafikan, sublet rumah atau bilik boleh memberikan keuntungan tanpa perlu membeli hartanah sendiri. Tapi, anda perlu lakukannya dengan betul dan jangan ambil mudah tentang risiko yang ada.

Lebih bagus jika anda selidik dulu kebaikan dan keburukan pelaburan sublet sebelum membuat sebarang keputusan. Semoga dengan panduan ini, anda akan dapat membantu memulakan dan menjayakan pelaburan bisnes sublet!

Panduan Relevan

Our goal is to create a safe and engaging place for users to connect over interests and passions. In order to improve our community experience, we are temporarily suspending article commenting