5 Terma Perjanjian Sewa Rumah Anda Kena Teliti!

·5-min read

Click here for English version.

Bayangkan senario ini, anda dah lama mencari rumah untuk disewa di Malaysia. Akhirnya, anda menemui sebuah rumah sewa idaman. Tanpa ragu anda bersetuju untuk menyewanya, lagi-lagi kena pula dengan bajet anda.

Nak dibuatkan cerita, tuan rumah pula punyalah baik, dan hubungan anda berdua pun mesra sekali.

Tapi bila tiba waktu menandatangani perjanjian sewa rumah, anda menyedari ada terma dan syarat yang buat anda keliru (baca: jargon undang-undang) yang terdapat di dalamnya.

Jadi apa maksudnya semua ini? Sedar tak sedar anda main tandatangan sahaja perjanjian yang entah apa-apa, yang mungkin akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

Bahaya tu! Oleh itu, di sini kami perhalusi beberapa terma dan syarat yang perlu diperhatikan dengan betul-betul.

Tapi Sebelum Itu, Apakah Perjanjian Sewa Rumah?

Perjanjian sewa rumah adalah kontrak mengikat secara sah yang ditandatangani oleh tuan rumah dan penyewa. Tanggungjawab kedua-dua pihak mengenai penyewaan hartanah diperincikan dengan jelas di dalamnya.

perjanjian sewa rumah, tuan rumah, hak penyewa, rumah sewa
perjanjian sewa rumah, tuan rumah, hak penyewa, rumah sewa

Selalunya, tuan tanah yang merangka perjanjian sewa rumah mereka sendiri, namun kami sarankan kena ada peguam bertauliah yang menyusun dan menyemaknya. Ini bagi memastikan terma dan syarat dalam perjanjian adil untuk kedua-dua belah pihak.

Anda dan tuan rumah perlu bersetuju dengan semua kontrak sebelum menandatanganinya - dan setelah tandatangan, anda berdua akan terikat dengan syarat yang dinyatakan di dalamnya.

Jadi, anda perlulah membaca setiap halaman dengan teliti, dan cuba kenal pasti semua perkara yang mungkin akan menimbulkan isu nanti.

Maka, kami senaraikan 5 terma dan syarat yang perlu diperhatikan betul-betul semasa menandatangani perjanjian sewa rumah anda.

1) Penamatan Sewa

Mungkin terdapat beberapa sebab di sebalik penamatan awal sewaan anda. Yang biasa sangat termasuklah tak bayar sewa, atau menggunakan hartanah disewa untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.

perjanjian sewa rumah, tuan rumah, hak penyewa, rumah sewa
perjanjian sewa rumah, tuan rumah, hak penyewa, rumah sewa

Atau, mungkin anda adalah ekspatriat dan kerja anda sudah tamat di Malaysia, ataupun anda dipindahkan ke negara lain.

Sekiranya ada syarat tambahan yang boleh mengakibatkan penamatan sewaan anda, tuan rumah mesti menyatakan dengan jelas apakah syarat tersebut dalam perjanjian itu.

Dengan menyatakan semua kemungkinan alasan dan senario, dokumen tersebut harus mengandungi penalti yang dikenakan ke atas kedua-dua belah pihak, sekiranya berlaku pelanggaran syarat.

PropertyGuru Tip

Klausa penamatan tak hanya boleh diletakkan ke atas penyewa, ia perlu turut merangkumi tanggungjawab tuan rumah kepada penyewa.

Mana-mana pihak boleh menamatkan perjanjian jika pihak satu lagi tidak memenuhi kewajiban mereka. Kerana dah ada notis awal, penamatan itu dibenarkan!

2) Klausa Diplomatik

Klausa diplomatik biasanya terdapat dalam perjanjian sewa rumah yang mempunyai tempoh sewaan sekurang-kurangnya 12 bulan. Klausa ini sangat penting sekiranya anda seorang ekspatriat yang bekerja di Malaysia.

perjanjian sewa rumah, tuan rumah, hak penyewa, rumah sewa
perjanjian sewa rumah, tuan rumah, hak penyewa, rumah sewa

Biasanya, warga asing mungkin akan tinggal di Malaysia dalam jangka masa waktu yang lama. Maka klausa ini digubal bagi melindungi hak mereka sekiranya mereka tak lagi menetap di negara ini.

Sebagai contoh, pekerjaan anda di Malaysia mungkin ditamatkan lebih awal, atau anda perlu pulang semula ke negara asal anda atas sebab-sebab tertentu misalnya kecemasan dan sebagainya.

Dengan klausa ini, anda tak perlu membayar baki sewa bulanan sepanjang tempoh penyewaan yang tak digunakan itu. Klausa diplomatik harus memperincikan perkara berikut:

  • Tempoh notis untuk penamatan sewaan

  • Pampasan yang mesti diberikan oleh penyewa sekiranya tempoh notis tak dipenuhi

Sekiranya anda perlu menggunakan klausa ini, anda mesti menunjukkan bukti yang menyokong alasan anda itu.

Antara bukti yang boleh digunapakai termasuk dokumen yang menunjukkan tempoh perkhidmatan anda di syarikat anda bekerja dah tamat, atau berpindah ke negara lain.

Usah tunggu lama-lama. Tengok tempoh notis yang dinyatakan dalam klausa dan anda perlu tunjukkan dokumen ini kepada tuan rumah anda secepat mungkin.

perjanjian sewa rumah, tuan rumah, hak penyewa, rumah sewa
perjanjian sewa rumah, tuan rumah, hak penyewa, rumah sewa

3) Pilihan Memperbaharui Kontrak

Klausa ini membolehkan anda melanjutkan tempoh sewaan untuk jangka masa yang lain, tertakluk kepada notis sebelumnya.

Sekiranya perlu, semak perjanjian sewa rumah anda sekiranya terdapat sesuatu yang disebut 'klausa penambahan'.

Apa yang dimaksudkan dengan terma ini adalah hak tuan rumah melanjutkan tempoh sewaan untuk tahun-tahun berikutnya, dan kebiasaannya berdasarkan:

  • Jumlah tetap

  • Peratusan sewa tahun pertama

  • Berdasarkan kenaikan kos sara hidup

Pilihan ini juga menyatakan bahawa tuan rumah bersetuju memberikan anda keutamaan sebelum kembali meletakkan hartanah tersebut di pasaran, atau mempertimbangkan tawaran dari penyewa lain.

Sekiranya anda memutuskan untuk memperbaharui atau melanjutkan sewaan anda, tuan rumah perlu menyiapkan kontrak untuk lanjutan sewa.

Kontrak baru ini haruslah mempunyai klausa yang sama dengan yang sebelumnya, kecuali dinyatakan sebaliknya.

perjanjian sewa rumah, tuan rumah, hak penyewa, rumah sewa
perjanjian sewa rumah, tuan rumah, hak penyewa, rumah sewa

4) Subsewa & Rakan Serumah

Sekiranya anda ingin menjana sedikit pendapatan tambahan dengan melakukan subsewa, pastikan tuan rumah setuju dulu. Sama ada anda periksa perjanjian sewa rumah anda atau bertanya kepada tuan rumah secepat mungkin.

PropertyGuru Tip

Subsewa adalah aktiviti menyewakan hartanah yang sedang anda sewakan.

Sebagai contoh, anda menyewa hartanah dari tuan rumah, dan kemudian menyewakannya kepada orang lain dan mengutip duit sewa dari mereka.

Sekiranya tidak diizinkan, tuan rumah boleh menamatkan sewaan anda tanpa berfikir panjang, itu pun jika anda kantoi berbuat demikian tanpa keizinan dari mereka.

Perkara paling buruk boleh berlaku; anda akan kehilangan tempat tinggal DAN dikenakan pula tindakan undang-undang!

Soal rakan serumah pula, anda biasanya dibenarkan untuk tinggal bersama orang lain semasa anda menyewa.

Walaupun kontrak itu hanya menggunakan nama anda, sekiranya anda memaklumkan terlebih dahulu dan meminta kebenaran tuan rumah untuk mempunyai rakan serumah, selalunya memang tiada masalah.

perjanjian sewa rumah, tuan rumah, hak penyewa, rumah sewa
perjanjian sewa rumah, tuan rumah, hak penyewa, rumah sewa

5) Insurans

Adakah anda tahu bahawa sesetengah tuan rumah mungkin memilih untuk mengambil 'insurans tuan tanah'?

Polisi ini akan melindungi mereka dari kemungkinan kerosakan harta benda yang mungkin disebabkan oleh perbuatan penyewa yang tak bertanggungjawab atau kerugian pendapatan dari sewaan sekiranya penyewa lesap begitu saja.

Mereka juga akan dilindungi daripada liabiliti, seperti dalam keadaan di mana penyewa mengalami kecederaan akibat kerosakan atau harta benda dalam hartanah terbabit yang gagal berfungsi.

Oleh itu, anda perlu memeriksa sama ada perjanjian sewa rumah ada menyebut tentang perkara ini dan apa yang tak patut anda lakukan (atau boleh dilakukan) yang boleh memberi kesan terhadap insurans tersebut.

Biasanya dalam isu insurans, perjanjian sewa turut menyatakan jumlah pembayaran semula yang anda perlu bayar kepada tuan rumah sekiranya anda tak sengaja menyebabkan insurans itu terbatal.

Situasi insurans terbatal termasuklah kerja pembaikan semula hartanah atau jumlah bayaran insurans yang meningkat.

Kesimpulannya, sebelum tandatangan sebarang perjanjian sewa tu, tak kisahlah baik mana tuan rumah atau elok mana rumah sewa tu, anda kena tengok 5 terma dan syarat ni supaya tak menyesal di kemudian hari!

Panduan Relevan